KOTA BHARU: Seramai 368 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Taman Bendahara, yang sebelum ini terkesan dengan banjir sudah kembali semula ke kolej kediaman masing-masing semalam.
Sebelum ini, kesemua pelajar terlibat berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di UMK Bachok, Fakulti Perubatan Veterinar dan PPS Kolej Kediaman Kemumin sejak 23 November lalu.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK (MPP UMK), Saiful Azam Shamsul Amir berkata, kesemua pelajar dibenarkan pulang selepas banjir yang melanda kawasan itu pulih sepenuhnya serta bekalan elektrik mula disambung oleh pihak TNB.
Katanya, operasi pemindahan pelajar ke UMK Kampus Kota menggunakan enam buah bas yang disediakan oleh pihak universiti.
“Allhamdullilah, operasi pemindahan pelajar yang diketuai oleh Naib Canselor UMK (Datuk Dr. Arham Abdullah) berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pelajar yang terkesan dengan Norhana Ibrahim, 20, mengakui lega dapat kembali meneruskan sesi pembelajaran kuliah secara bersemuka.
Katanya, dia berterima kasih kepada pihak pengurusan UMK yang begitu cakna dengan kebajikan pelajar.
“Alhamdulillah, keadaan PPS disini amat selesa dan kami boleh menjalani sesi pembelajaran PdP secara atas talian dengan baik kerana kemudahan capaian internet disini lancar.
“Selain itu, keperluan lain juga cukup lengkap dan makan minum juga terjaga serta dapat melakukan aktiviti bersama pelajar-pelajar lain,” ujarnya.
Utusan Malaysia 23 November lalu melaporkan hujan lebat sejak semalam menyebabkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Taman Bendahara, di sini ditenggelami banjir sekali gus pelajarnya terpaksa mengikuti pengajian secara dalam talian.
Arham berkata, semua pelajar terlibat ditempatkan di tingkat atas kolej kediaman dan pengurusan universiti itu terus melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan bekalan makanan sentiasa mencukupi.-UTUSAN










