KUALA NERUS: Seorang peguam berpengalaman, Datuk Dr. Victor Isaacs, 85, mencipta detik bersejarah apabila menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) selepas enam tahun menimba ilmu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Bapa kepada empat anak dan datuk kepada enam cucu itu memperoleh PhD pertamanya selepas menamatkan pengajian selama empat tahun bermula 2021.
Beliau berkata, tesisnya yang mengupas pengaruh golongan profesional terhadap penggubalan undang-undang berkaitan eutanasia di Malaysia adalah antara cabaran terbesar dalam perjalanan akademiknya kerana menyentuh isu yang sensitif melibatkan aspek perundangan dan etika perubatan.
“Dalam konteks undang-undang kita, tindakan mencabut alat sokongan hayat pesakit dianggap satu kesalahan. Sebab itu saya mencadangkan supaya UniSZA menubuhkan rumah penjagaan paliatif di dalam kampus bagi membantu pesakit tenat mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UniSZA semalam.
Katanya, inisiatif itu penting supaya pesakit yang sudah tidak dirawat di hospital masih mendapat penjagaan dan pemantauan berterusan.
“Sekiranya kerajaan tidak mampu menyediakan kemudahan itu di setiap negeri, hospital swasta boleh diberi peluang mengambil alih. Pesakit yang berkemampuan boleh menanggung kos sendiri manakala kerajaan negeri boleh membantu mereka yang kurang berkemampuan” katanya.-UTUSAN.

								
											








