PBB bimbang Israel semakin 'mengganas' di Tebing Barat

PBB bimbang Israel semakin ‘mengganas’ di Tebing Barat

PENDUDUK haram Yahudi membaling batu ke arah rakyat Palestin di Sinjil, Tebing Barat pada 4 Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran keadaan di Tebing Barat semakin buruk, susulan peningkatan keganasan yang menyebabkan rakyat Palestin berdepan ancaman korban dan kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, tahap keganasan di wilayah berkenaan kini berada pada tahap membimbangkan dengan insiden korban, kerosakan harta benda, pengusiran penduduk, kehilangan punca rezeki serta ketakutan berterusan dalam kalangan orang awam Palestin.

“Minggu ini sahaja, jumlah kanak-kanak Palestin yang terbunuh sejak awal tahun 2025 meningkat kepada 50 orang. Secara keseluruhan, lebih 200 rakyat Palestin terbunuh akibat tindakan pasukan keselamatan Israel sejak Januari,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) turut merekodkan 29 serangan oleh pendatang haram Yahudi dalam tempoh seminggu sahaja sehingga menyebabkan 11 kecederaan serta merosakkan 10 kediaman, dua masjid, hampir 24 kenderaan dan pelbagai aset pertanian.

“Kami terus menuntut agar keselamatan orang awam dilindungi termasuk tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan serangan dan penggunaan kekerasan maut oleh pasukan keselamatan hanya dibenarkan mengikut piawaian undang-undang penguatkuasaan antarabangsa.

“Taktik seakan perang tidak boleh dibiarkan menjadi norma baharu di Tebing Barat,” tegasnya.

Mengulas laporan media mengenai rancangan Israel untuk merampas sebahagian besar kawasan bersejarah Sebastia di Tebing Barat, Dujarric menegaskan PBB menentang sebarang cubaan merampas tanah Palestin.

Sejak tercetusnya perang di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, tentera Israel meningkatkan serangan di Tebing Barat di mana lebih 1,076 rakyat Palestin terbunuh, manakala 10,700 cedera akibat tindakan tentera dan pendatang haram Yahudi.

Selain itu, terdapat lebih 20,500 penduduk Palestin ditahan sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam pendapat undang-undang bersejarah pada Julai lalu memutuskan pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah menyalahi undang-undang dan menyeru semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur dikosongkan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN