KUALA LUMPUR: Tiada tindakan lanjut (NFA) berhubung siasatan laporan Bloomberg yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas arahan Perdana Menteri dalam menyiasat individu tertentu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara, arahan NFA dikeluarkan kerana kertas siasatan tidak mengandungi bukti yang mencukupi.
“Bagaimanapun, berbeza dengan kes sivil, kes jenayah tidak tertakluk kepada had masa tertentu.
“Justeru, sekiranya terdapat perkembangan baharu, siasatan lanjut dan semakan semula masih boleh dijalankan pada masa akan datang,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab soalan Datuk Che Mohammad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Azalina berkata, kertas siasatan yang dikendalikan polis telah dikemukakan kepada AGC untuk tindakan lanjut susulan laporan yang dibuat SPRM kepada pihak polis.
Azalina berkata, kerajaan tetap komited dalam melindungi kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dalam batasan undang-undang yang ditetapkan.
“Kes berkaitan fitnah dikawal selia menerusi Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan tiada had masa bagi memfailkan tindakan jenayah berkaitan fitnah.
“Sebarang isu berkaitan laporan media, termasuk etika kewartawanan, boleh dirujuk kepada Majlis Media Malaysia (MMC) yang baharu ditubuhkan,” katanya.
Menurut Azalina, Akta Majlis Media Malaysia 2025 telah diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.
“Oleh itu, sebarang aduan atau isu berkaitan laporan media boleh dibawa ke majlis ini sebagai badan pemantau yang berperanan memperkukuh profesionalisme serta akauntabiliti media di negara ini.
Pada September lalu, Bloomberg melaporkan, memetik sumber, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki didakwa memaklumkan kepada pegawainya bahawa siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan keluarganya serta bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin kononnya dijalankan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, Bloomberg turut mendakwa bahawa Perdana Menteri didakwa mengarahkan SPRM supaya tidak menyiasat seorang bekas pegawai beliau berhubung pembelian saham dalam syarikat yang terlibat dengan projek pembangunan sistem Imigresen bernilai berbilion ringgit.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum ini menafikan kedua-dua dakwaan tersebut dan menegaskan Anwar tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan SPRM.
SPRM juga menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri, ketika menjalankan siasatan terhadap individu tertentu. – UTUSAN










