KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang berusaha mencari cara untuk memperluas subsidi berupa baucar FLYSiswa bernilai RM400 kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu berdepan kekangan kewangan kerana melibatkan jumlah besar pelajar IPTS.
“Sama ada hendak diperluaskan kepada pelajar di peringkat IPTS, jumlahnya sangat besar. Bukannya kita tidak mahu tetapi kita ada kekangan dari segi kewangan.
“Satu orang RM400, jumlahnya bukan kecil. Jadi 100,000 orang, jumlahnya sudah jadi RM40 juta.
“Namun kita tetap akan mencari jalan untuk melihat bagaimana dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan di peringkat IPTS,” katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkaitan hasrat kementerian itu untuk meluaskan kelayakan inisiatif itu kepada pelajar IPTS.
Tambah Anthony, buat masa ini, pemberian baucar bernilai RM400 itu hanya diberikan kepada pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), politeknik dan kolej perguruan. – UTUSAN










