KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dijangka menumpukan perhatian kepada kemajuan pelaksanaan Program Penyasar Subsidi RON95 (BUDI95) serta pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) meminta Perdana Menteri menjelaskan kemajuan bulan pertama pelaksanaan BUDI95.
Antara isu berkaitan yang berbangkit termasuk usaha kerajaan menangani kelayakan penggunaan melibatkan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai.
Sementara itu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) menekankan pencapaian Malaysia dalam kepengerusian ASEAN dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) (AELM) di Korea Selatan baru-baru ini serta faedah yang diperoleh negara daripada penyertaan tersebut.
Pada sesi sama, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) juga meminta penjelasan Perdana Menteri berkait isu pemisahan peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya yang akan dibentangkan.
Isu-isu lain yang turut dibangkitkan termasuk keselamatan makanan, reformasi undang-undang guaman, kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi hijau.
Selesai sesi soal jawab, Dewan dijangka mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia.
Tiga RUU lain disenaraikan untuk bacaan kali kedua iaitu RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024. – UTUSAN










