KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pemain industri mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan bagi menangani isu kelewatan surat jaminan serta pertikaian bayaran tuntutan insurans perubatan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jawatankuasa itu berperanan menyelaras amalan operasi antara hospital, pengendali takaful dan syarikat insurans bagi memastikan proses tuntutan lebih cepat, telus dan berkesan.
“Jawatankuasa ini akan menjadi platform untuk memperhalusi isu berkaitan pelaksanaan polisi insurans kesihatan, termasuk kelewatan kelulusan surat jaminan dan pertikaian rawatan yang perlu dibayar di bawah perlindungan sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) yang membangkitkan isu campur tangan syarikat insurans dalam keputusan rawatan serta penolakan tuntutan pesakit.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, BNM akan terus memantau pelaksanaan langkah sementara bagi mengekang kenaikan premium insurans kesihatan dalam tempoh tiga tahun akan datang, selain menilai daya tahan jangka panjang industri.
Beliau turut memaklumkan kerajaan kini dalam usaha membangunkan produk asas insurans kesihatan yang lebih mampan dan mampu milik menjelang tahun 2027, sebagai sebahagian daripada pelan reformasi sektor berkenaan.
“Langkah interim hanyalah penyelesaian sementara. Jika diteruskan terlalu lama, ia boleh menjejaskan daya tahan keseluruhan sistem insurans kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying menegaskan bahawa syarikat insurans, pengendali takaful (ITO) dan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan rawatan pesakit, kerana tanggungjawab itu sepenuhnya terletak pada doktor.
Menurutnya, sekiranya rawatan yang dijalankan berbeza daripada protokol biasa, ITO akan membuat semakan lanjut bagi memahami justifikasi perubatan sebelum meluluskan tuntutan jika ia didapati wajar.
“Langkah semakan ini penting bagi mengawal inflasi tuntutan perubatan yang boleh membawa kepada kenaikan premium insurans tidak munasabah dan akhirnya membebankan pemegang polisi,” katanya. – UTUSAN










