CANBERRA: Seorang ahli politik kanan Australia mencetuskan kemarahan pada Isnin selepas memakai burqa di Parlimen negara itu, tindakan yang dikritik oleh anggota Parlimen lain sebagai ‘perbuatan rasis’.
Pauline Hanson dari parti anti imigresen One Nation sebelum itu cuba memperkenalkan undang-undang di Senat yang akan mengharamkan pemakaian penutup muka sepenuhnya di Australia, isu yang menjadi fokus kempen beliau selama bertahun-tahun.
Pemimpin Hijau Australia di Senat, Larissa Waters berkata, langkah itu merupakan ‘satu penghinaan terhadap orang beragama’.
“Ini sangat rasis dan tidak selamat,” kata Waters.
Menteri Luar, Penny Wong, yang juga mengetuai kerajaan di Senat, turut mengecam tindakan Hanson dan menyifatkannya sebagai ‘tidak menghormati’.
“Kita semua yang berada di dewan ini mempunyai keistimewaan besar. Kita mewakili rakyat di negeri masing-masing, daripada pelbagai agama dan latar belakang, maka bertindaklah dengan tertib,” katanya.
Hanson enggan membuka burqa tersebut, menyebabkan persidangan Senat terpaksa ditangguhkan.
Ini merupakan kali kedua beliau memakai pakaian itu di Parlimen.
Pada 2017, Hanson turut mengenakan burqa di Senat bagi menonjolkan isu keselamatan berkaitan pakaian tersebut, dengan mengaitkannya terhadap kegiatan keganasan.
Hanson sebelum ini pernah menyifatkan Islam sebagai ‘satu budaya dan ideologi yang tidak serasi dengan masyarakat negara itu’.
Partinya semakin mendapat sokongan ketika pembangkang konservatif utama negara itu terus bergolak akibat perpecahan dalaman.
Satu tinjauan yang dilaporkan The Australian Financial Review bulan ini menunjukkan sokongan terhadap partinya mencapai paras tertinggi, iaitu 18 peratus.
Perkembangan itu muncul selepas seorang utusan kerajaan berkata pada September, Australia gagal menangani masalah Islamofobia yang berterusan dan semakin memburuk.- AFP










