Pacu pembangunan luar bandar secara inklusif, berpaksi rakyat

Pacu pembangunan luar bandar secara inklusif, mampan dan berpaksi rakyat

Johor terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar melalui Belanjawan Johor 2026 yang memperuntukkan sebanyak RM65.7 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar melalui Belanjawan Johor 2026 yang memperuntukkan sebanyak RM65.7 juta bagi melaksanakan sembilan inisiatif utama merangkumi aspek kebajikan, sosial, institusi akar umbi, pendidikan awal, infrastruktur kampung serta peningkatan kesejahteraan komuniti FELDA dan Orang Asli.

Kerajaan Negeri Johor juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas komitmen dan sokongan berterusan menyalurkan peruntukan tahun 2026 lebih RM323.3 juta, merangkumi pelaksanaan 108 projek/program pembangunan desa.

Peruntukan besar ini menzahirkan komitmen kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan pesat negeri. Ia juga membawa mesej yang jelas bahawa pembangunan desa bukan sekadar usaha fizikal, tetapi agenda menyeluruh demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Bangsa Johor.

Umumnya, keseluruhan usaha ini selari dengan Agenda Maju Johor 2030 yang menekankan pembangunan seimbang, inklusif dan berimpak tinggi di seluruh negeri. Keutamaan yang diberikan kepada masyarakat luar bandar membuktikan bahawa visi Johor Maju bukan hanya tertumpu kepada bandar dan pusat ekonomi utama, tetapi meliputi setiap lapisan rakyat.

Pengukuhan Institusi Kepimpinan Akar Umbi

Kerajaan negeri memberi penekanan kepada pengukuhan institusi kepimpinan kampung melalui penyediaan Geran Pengurusan dan Pentadbiran berjumlah RM930,000 melibatkan Ketua Kampung, JKKP FELCRA, JKKR FELDA dan JPKKOA. Bagi menjaga kebajikan barisan kepimpinan ini, kerajaan turut menyediakan RM240,000 untuk Bantuan Caruman Lindung Kendiri kepada Ketua Kampung, Setiausaha JPKK, Ketua Masyarakat dan Batin Orang Asli.

Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap golongan yang menjadi tulang belakang dalam mengurus isu komuniti, menyelaras program kerajaan dan memperkukuh struktur pentadbiran desa secara lebih tersusun.

Jelajah Orang Johor (JOJ): Rakyat Didampingi Secara Terus

Melalui peruntukan RM8 juta, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan Program Jelajah Orang Johor (JOJ) di semua 56 DUN sebagai mekanisme libat urus sebagai platform libat urus akar umbi yang paling berkesan. Program ini bukan sekadar siri lawatan semata-mata, tetapi manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kepimpinan tertinggi, ketua-ketua jabatan dan pemimpin akar umbi turun ke lapangan bagi mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami keperluan mereka secara dekat.

JOJ juga berfungsi sebagai wadah hebahan dasar kerajaan, selain menjadi saluran maklum balas terus daripada rakyat bagi memastikan pembangunan negeri benar-benar bersifat inklusif dan berpaksikan realiti masyarakat. Melalui JOJ, pelbagai bantuan kebajikan, penambahbaikan perkhidmatan dan akses kepada peluang ekonomi disampaikan kepada komuniti luar bandar secara lebih terancang dan menyeluruh.

Transformasi Pendidikan Awal Melalui TABIKA KEMAS Bangsa Johor

Inisiatif Pembangunan TABIKA KEMAS turut diperkasa melalui peruntukan RM2 juta sebagai langkah menjadikannya feeder utama kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). Melalui penyelarasan modul, penambahbaikan prasarana dan latihan guru yang lebih tersusun, TABIKA KEMAS akan menjadi asas pendidikan awal yang kukuh bagi memastikan anak-anak melangkah ke SRBJ dengan kemahiran asas mantap, sahsiah baik dan kesiapsiagaan akademik yang lebih tinggi.

RM50 Juta Naiktaraf Infrastruktur Kampung

Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan projek menaiktaraf jalan kampung, termasuk kerja-kerja pelebaran, pembinaan parit dan peningkatan akses asas. Inisiatif ini dijangka memberi impak langsung kepada ribuan penduduk luar bandar melalui peningkatan mobiliti, memudahkan logistik pertanian, merancakkan ekonomi desa serta mempertingkat kualiti hidup penduduk kampung keseluruhan.

Penyelesaian Hak Milik: Komitmen Kepada Peneroka FELDA & Generasi Baharu

Kerajaan Negeri Johor terus menunjukkan komitmen terhadap isu pemilikan tanah FELDA. Daripada 27,642 peneroka, seramai 27,429 atau 99% telah menerima geran hak milik, manakala baki 213 peneroka dijangka menerima dokumen mereka menjelang akhir tahun ini. Bagi generasi baharu FELDA, seramai 7,805 orang (80%) telah menerima geran masing-masing. Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjamin hak milik sah, kestabilan keluarga peneroka dan masa depan generasi baharu di tanah rancangan.

Bantuan Kasih Johor: Menyantuni Komuniti Desa

Belanjawan Johor 2026 sekali lagi menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam membela golongan luar bandar melalui peluasan program Bantuan Kasih Johor. Melalui inisiatif ini, kesemua 5,041 Ketua Isi Rumah Orang Asli di Johor akan menerima bantuan RM400 bagi meringankan beban kos sara hidup.

Selain itu, sebanyak 2,548 Ketua Blok FELDA turut diberi RM400 sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka mengurus kebajikan warga FELDA. Seramai 1,173 Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) KEMAS menerima RM600, manakala 873 pemimpin akar umbi termasuk Ketua Kampung, Ketua Masyarakat, Batin dan Pengerusi JPKKOA akan menerima bantuan tunai RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam menyantuni rakyat dari peringkat lapangan hingga ke pedalaman.

Komitmen Berterusan Kerajaan Negeri, Maju Johor 2030

Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar angka, tetapi gambaran jelas hala tuju pembangunan luar

bandar yang lebih tersusun dan berimpak tinggi. Dengan penekanan kepada kebajikan rakyat, pendidikan awal, kepimpinan akar umbi, pembangunan FELDA, komuniti Orang Asli, peluang ekonomi dan infrastruktur kampung, Kerajaan Negeri Johor memperkukuh asas penting untuk mencapai aspirasi Johor Maju 2030.

Pendekatan bersepadu antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan komuniti setempat ini akan memastikan pembangunan Johor berlaku secara menyeluruh dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang.

Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN