KOTA BHARU: Operator yang mengendali perkhidmatan dron dalam bidang pertanian di negara ini perlu memiliki lesen dari Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr. Ahmad Safuan Bujang berkata, bagi merealisasi hasrat itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membangunkan modul pensijilan yang dikenali sebagai Remote Pilot Certificate of Competency-Agriculture Light (RCoC-AL) untuk operator dron.
Katanya, program rintis itu menyasarkan seramai 350 operator memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh CAAM bagi mengelakkan mereka berdepan tindakan apabila penguatkuasaan dijalankan.
“Untuk menerbangkan dron mereka perlu tahu peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Selain itu, operator dron memerlukan kemahiran supaya proses pengendalian dilakukan dengan lebih selamat.
“Penggunaan dron dalam pertanian semakin meningkat dan lebih banyak akan diterbangkan selepas ini. Jadi kita tidak mahu ia digunakan dengan tidak selamat. Sebab itu kerajaan salurkan sedikit peruntukan bagunkan model lesen terbangkan dron,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jelajah Dron Pertanian 2025 yang dirasmikan oleh Pengerus Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Samad di sini hari ini.
Ahmad Safuan memberitahu, kebanyakan operator pengendali dron sebelum ini tanpa lesen.
Katanya, melalui modul RCoC-AL kerajaan mahu mempermudahkan operator dron memiliki lesen sekali gus mengendalikannya dengan lebih selamat.
“Ini merupakan lesen dron pertanian pertama di negara ini. Kebanyakan operasi dron mempunyai lesen umum dibawah CAAM,” ujarnya.
Sementara itu Khalid berkata, KADA sentiasa menggalakan penggunaan teklonogi terkini termasuk dron dalam meningkatkan hasil tamanan diusahakan oleh para pesawah.
Katanya, penggunaan teknologi hari ini telah terbukti berkesan dalam membantu pesawah meningkatkan hasil pengeluaran.-UTUSAN










