NGO bantah laporan EIA ladang hutan Kledang Saiong

NGO bantah laporan EIA ladang hutan Kledang Saiong

KUMPULAN penduduk menyatakan bantahan dan menolak projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Perak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) mengenai projek ladang hutan seluas 2,020 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong, Perak didakwa sebagai berat sebelah dan gagal menggambarkan kesan sebenar terhadap alam sekitar dan penduduk.

Beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi satu memorandum kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), juga mendakwa laporan yang disediakan sebuah konsutan tidak menilai secara menyeluruh risiko banjir, hakisan tanah, pemendapan sungai dan pergerakan haiwan liar.

Menurut mereka, beberapa kawasan seperti Sungai Buloh, Sungai Bemban, Sungai Nyamuk hingga Sungai Perak sudah pun berisiko banjir setiap kali hujan lebat namun laporan EIA itu hanya menyentuh perubahan aliran air tanpa menilai impak pemendapan yang boleh berlaku apabila kawasan hutan dibuka.

Katanya, laporan oleh konsultan itu juga mengakui hakisan tanah boleh meningkat sehingga 4,500 tan sehektar setahun tetapi tidak menyertakan cadangan pemantauan pemendapan atau pelan mendalamkan sungai-sungai terbabit.

Kumpulan itu turut mendakwa kaedah mitigasi banjir yang dicadangkan tidak dibincangkan secara terperinci walaupun data dalam EIA menunjukkan risiko hakisan meningkat dengan ketara apabila hutan mula ditebang.

Menurut mereka, laporan EIA gagal menilai pergerakan haiwan liar dengan profesional, terutama apabila projek tersebut berada di kawasan yang diapit lebuh raya dan boleh menyebabkan kawasan ‘forest island’ yang memerangkap ratusan spesies.

“EIA tidak menyentuh keperluan underpass atau laluan khas haiwan, walaupun 309 spesies haiwan direkodkan di kawasan itu, termasuk 166 spesies yang dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Kata kumpulan NGO itu, kegagalan menilai isu itu boleh meningkatkan pertembungan haiwan liar dengan penduduk kampung berhampiran.

Mereka juga mempersoalkan mengapa laporan itu tidak menyentuh keperluan mewujudkan dana khas pampasan kepada penduduk sekiranya berlaku kerosakan akibat banjir atau haiwan liar sedangkan risiko tersebut meningkat apabila kawasan hutan dibersihkan.

Tambahnya, gambaran yang menyatakan kawasan hutan itu sebagai ‘depleted forest’ tidak selari dengan rekod biodiversiti yang kaya, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap ketepatan EIA tersebut.

Mereka turut menimbulkan kebimbangan mengenai kapasiti JAS untuk memantau operasi berskala besar itu memandangkan agensi tersebut dilaporkan kekurangan ribuan pegawai penguat kuasa di seluruh negara.

“Berdasarkan kelemahan ketara dalam laporan EIA ini, kami berpandangan ia tidak objektif dan mengetepikan beberapa fakta penting,” menurut NGO terbabit yang turut berharap laporan EIA sedia ada ditolak dan konsultan baharu dilantik.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN