NEW YORK: Sekumpulan wanita yang menjadi mangsa penderaan seksual Jeffrey Epstein mendakwa menerima ugutan bunuh, dan bimbang keadaan bertambah buruk sementara menunggu pendedahan fail berkaitan tokoh kewangan pedofil itu.
Kumpulan tersebut dalam kenyataan memaklumkan mereka menerima ugutan untuk dicederakan dan meminta polis menjalankan siasatan serta memberi perlindungan.
Sejumlah mangsa yang pernah didera Epstein kini meningkatkan usaha kempen untuk mendesak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendedahkan fail berkaitan pesalah seksual itu.
Beberapa wanita tampil bercakap secara terbuka mengenai penderaan yang dialami, menjadikan mereka suara utama dalam skandal yang kembali menguasai perbualan nasional terutama selepas penentangan Presiden AS, Donald Trump diketepikan oleh pemberontakan kecil dalam kalangan Republikan, sehingga beliau akhirnya menandatangani langkah pelepasan fail tersebut menjadi undang-undang.
Jabatan Kehakiman kini mempunyai tempoh 30 hari untuk menyiarkan fail berkenaan.
Kenyataan yang ditandatangani oleh mangsa termasuk adik-beradik Maria dan Annie Farmer, Marina Lacerda dan Jess Michaels itu turut merujuk kepada cubaan sesetengah pihak untuk mengecilkan sifat jenayah Epstein dan rakan subahatnya, Ghislaine Maxwell.
Minggu lalu, hos radio konservatif Megyn Kelly mencetus kontroversi apabila mempersoalkan sama ada Epstein benar-benar seorang pedofil.
“Ada beza antara seorang berusia 15 tahun dan lima tahun,” katanya menerusi siaran podcast.
Kumpulan wanita itu berkata, mereka sudah mula mendengar usaha untuk menggambarkan mangsa yang telah mencapai usia 18 tahun bukan lagi mangsa.
“Kami menolak keras hujahan tidak masuk akal ini. Ada antara kami yang berusia lebih 18 tahun ketika dianiaya. Ada yang menjadi mangsa kerana sejarah penderaan seksual semasa kecil. Ada yang terdedah kerana kemiskinan. Ada yang diserang Epstein, Maxwell dan rakan subahat mereka menggunakan kekerasan, ugutan dan keganasan.
“Kesemua kami berada dalam keadaan mudah dieksploitasi kerana situasi hidup yang dimanipulasi Epstein dan Maxwell dan kerana itulah kami menjadi sasaran mereka,” katanya.– AGENSI










