KANGAR: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 7,501 orang setakat pagi ini dengan masih banyak kawasan ditenggelami air.
Selain itu, sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan secara keseluruhan membabitkan kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau bagi menempatkan mangsa-mangsa terjejas.
Semalam, kawasan sekitar Kangar terjejas teruk apabila limpahan air mula memasuki kawasan kediaman penduduk sehingga menyebabkan beberapa laluan tidak dapat dilalui kenderaan ringan.
Selain itu, beberapa premis pejabat kerajaan termasuk fasiliti kesihatan seperti Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, turut dinaiki air.
Setakat pagi ini, laluan sekitar negeri ini yang ditutup sepenuhnya adalah melibatkan Jalan Abi Tok Hashim (MPK-Bank Rakyat), Jalan Kaki Bukit Wang Kelian (1.5 km dari View Point), Jalan Kangar-Padang Besar (PUSPEN), Jalan Kampung Aman, Jalan Titi Tinggi-Tasoh dan Jalan Lencongan Barat Timah Tasoh.
Selain itu, laluan yang hanya ditutup buat kenderaan ringan pula adalah di Jalan Kangar-Alor Setar (depan mahkamah lama), Jalan Kangar-Padang Besar (depan Petron MPK), Jalan Padang Behor-Guar Syed Alwi, Jalan Raja Syed Alwi (Taman Kemajuan), Jalan Kangar-Padang Besar (Hotel Sri Garden-Bulatan Kangar-Kastam) dan Jalan Abi Tok Hashim.
Beberapa kawasan sekitar Padang Besar masih terjejas apabila difahamkan Jalan Wang Kelian dan View Point ditutup sepenuhnya buat semua pengguna bermula pukul 7 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, keputusan penutupan itu dibuat berdasarkan hasil penelitian risiko dan perbincangan teknikal menerusi satu mesyuarat yang diadakan pada tengah hari ini.
Katanya, penutupan itu berkuat kuasa sehingga Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan laluan tersebut kembali stabil, sesuai dan selamat untuk dilalui.
Dalam pada itu, situasi banjir sekitar kawasan Arau juga semakin terkawal apabila beberapa kawasan semakin surut.-UTUSAN










