Mangsa banjir di Perlis terus meningkat, air naik mendadak di Arau - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Perlis terus meningkat, air naik mendadak di Arau

ARAU antara kawasan yang terjejas teruk dengan kebanyakan jalan tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan kenaikan paras air mendadak.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Banjir di Perlis semakin buruk dengan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat sehingga 1,518 orang daripada 457 keluarga setakat pukul 6 petang ini.

Setakat ini, sebanyak tujuh PPS telah diaktifkan melibatkan kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Lubuk Sireh, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, SK Felda Mata Ayer, Dewan Warisan, SK Guar Nangka, SK Batu Bertangkup dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Arau antara kawasan yang terjejas teruk dengan kebanyakan jalan tidak dapat dilalui kenderaan ringan berikutan kenaikan paras air mendadak.

Sebanyak 16 jalan di sekitar negeri ini juga terpaksa ditutup buat kenderaan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner, Mohd Ismail Ibrahim berkata, penutupan jalan tersebut melibatkan Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, Jalan Menuju Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek dan Jalan Titi Tinggi.

“Selain itu, jalan ditutup adalah Jalan Gua Kelam, Jalan Kangar-Padang Besar (Agrovet Perlis), Jalan Kangar-Padang Besar (Bukit Chabang) dan Jalan Kaki Bukit-Gua Kelam (Biro Tatanegara).
Penutupan turut melibatkan Bulatan Kilang Gula, Jalan Batas Liku Rani Estate, Jalan Kubang Gajah, Jalan Besar Arau-Kodiang, Jalan Kampung Gial, Jalan Syed Hussein dan Jalan Stesen KTM Arau,” katanya.

Mohd Ismail berkata, orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan menuju ke mana-mana destinasi agar keselamatan diri dan keluarga terjamin di samping menggelakkan kerosakkan kenderaan.

Katanya, mangsa banjir turut diseru agar dapat memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah demi keselamatan masing-masing.

“Pelancong yang pulang dari Thailand melalui sempadan Wang Kelian dan terkandas susulan kejadian tanah runtuh akan dibawa keluar secara berperingkat oleh pihak berkuasa.

“Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana negeri di talian 04-9738982 atau 04-9738906,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN