KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di negeri makin bertambah apabila seramai 10,950 mangsa dari sembilan daerah sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 10,778 semalam.
Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, setakat pukul 8 pagi tadi kesemua mangsa dari 4,111 keluarga itu sedang berlindung di 66 PPS.
Katanya, setakat hanya daerah Jeli sahaja yang masih belum dilanda banjir.
“Tumpat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas apabila seramai 4,427 mangsa sedang mendapatkan perlindungan di 12 PPS.
“Ia diikuti Kota Bharu (2,447), Bachok (2,047), Machang (815), Tanah Merah (458) Kuala Krai (362),Pasir Puteh (167), Gua Musang (157) dan Pasir Mas (70),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang dan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya.
Sungai Kelantan di Kuala Krai pula melepasi paras amaran. Lain-lain sungai berada di paras normal.-UTUSAN










