KUALA LUMPUR: Malaysia diiktiraf memainkan peranan penting dalam Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang merupakan blok perdagangan terbesar dunia melibatkan 21 negara anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, APEC kini menguasai 61 peratus daripada jumlah perdagangan dunia serta 61 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, sekali gus memperlihatkan kepentingan hubungan Malaysia dalam kerangka tersebut.
“APEC ini, kita ingatkan, melibatkan 21 negara dan merupakan blok perdagangan terbesar di dunia. Ia menguasai 61 peratus daripada perdagangan dunia dan 61 peratus daripada KDNK global,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kedudukannya dalam APEC untuk memperkukuh kepentingan perdagangan serantau ASEAN, termasuk dalam usaha meningkatkan nilai perdagangan intra-ASEAN yang masih berada pada tahap rendah.
“Dalam APEC, kita gunakan juga melalui APEC dan ASEAN untuk meningkatkan interest ASEAN trade. Sekarang ini sangat rendah, 22 peratus,” katanya.
Anwar berkata, APEC berpotensi untuk menjadi platform penting bagi Malaysia memperkukuh ekonomi negara kerana sebahagian besar aktiviti perdagangan negara tertumpu kepada pasaran dalam kalangan negara anggota.
“Bagi Malaysia, 80 peratus daripada jumlah perdagangannya berada di negara APEC. Jadi untuk itu, kita mesti berikan pendekatan yang sesuai kerana ini survival negara kita,” katanya. – UTUSAN










