Krisis penutupan kerajaan jejas operasi penerbangan AS

Krisis penutupan kerajaan jejas operasi penerbangan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kapasiti penerbangan sebanyak 10 peratus di 40 kawasan trafik udara utama bermula Jumaat, susulan penutupan kerajaan yang berlarutan dan menjejaskan operasi pelbagai agensi persekutuan.

Langkah itu diumumkan selepas Kongres gagal meluluskan dana baharu sejak 30 September, menyebabkan kira-kira 1.4 juta pekerja kerajaan termasuk pengawal trafik udara dan renjer taman negara sama ada terpaksa bercuti tanpa gaji atau bekerja tanpa bayaran.

Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy berkata, pengurangan itu perlu bagi menyesuaikan operasi dengan kekangan tenaga kerja akibat penutupan kerajaan.

“Bermula Jumaat, kapasiti penerbangan akan dikurangkan sebanyak 10 peratus di 40 lokasi dengan trafik udara tinggi di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Rumah Putih.

Sementara itu, Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Bryan Bedford, menjelaskan pengurangan itu akan memberi kesan kepada ‘pasaran penerbangan paling sibuk di negara itu’ dan dijangka menyebabkan kelewatan penerbangan di beberapa lapangan terbang utama.

Menurut senarai awal yang diperoleh CBS News, beberapa lapangan terbang paling sibuk di Amerika Syarikat, termasuk di Atlanta, Dallas, Los Angeles dan New York City, dijangka antara yang terjejas oleh pengurangan kapasiti penerbangan itu.

Agensi berita AFP menghubungi Jabatan Pengangkutan serta FAA bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai lapangan terbang yang terlibat.

Penutupan kerajaan kali ini turut mencatat sejarah baharu apabila menjadi yang paling lama pernah berlaku di AS, mengatasi rekod 35 hari semasa penggal pertama pemerintahan Presiden Donald Trump.

Ketika itu, ramai pekerja lapangan terbang mengambil cuti sakit beramai-ramai sebagai protes kerana bekerja tanpa gaji, sekali gus menyebabkan kelewatan besar di seluruh negara, faktor utama yang akhirnya memaksa Trump menamatkan penutupan kerajaan pada 2019.

Lebih 60,000 pengawal trafik udara dan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) terpaksa bekerja tanpa gaji, dengan Rumah Putih memberi amaran peningkatan ketidakhadiran kakitangan boleh menimbulkan kekacauan di kaunter daftar masuk lapangan terbang.

Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson, berkata pada akhir Oktober kira-kira lima peratus kelewatan penerbangan sebelum ini berpunca daripada kekurangan tenaga kerja, namun angka itu kini meningkat melebihi 50 peratus.

Beliau turut memberi amaran keselamatan rakyat Amerika akan semakin terancam jika penutupan kerajaan berlarutan, dan semakin ramai pengawal trafik udara tidak hadir bekerja.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN