KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kebenaran kepada sekolah yang terkesan dengan banjir untuk menerusi sesi dengan pembelajaran menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, mana-mana sekolah di seluruh negara yang terkesan dengan banjir boleh mengaktifkan kaedah tersebut secara terus.
“Mana-mana sekolah di seluruh negara yang terkesan dengan banjir boleh melaksanakan PdPR serta-merta tanpa sebarang masalah.
“Kita tidak mengambil kira negeri mana. Asalkan sekolah itu terjejas akibat banjir, PdPR boleh diaktifkan terus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekolah yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini.
Fadhlina memberitahu, beliau berharap semua pihak dapat memberi kerjasama bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar walaupun berdepan situasi banjir di beberapa negeri.
Katanya, langkah tersebut turut bertujuan memastikan pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat mengikuti pembelajaran tanpa gangguan, meskipun sekolah mereka digunakan sebagai PPS atau ditutup sementara.
“Dalam tinjauan awal, kita lihat murid-murid yang menjalani PdPR tidak mengganggu perjalanan SPM dan operasi PPS.
“Mereka boleh teruskan pembelajaran seperti biasa,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, KPM memberikan kebenaran kepada murid yang terjejas dengan banjir untuk berpakaian bebas sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, pakaian itu mestilah sopan dan bersesuaian dengan imej seorang pelajar atau murid.-UTUSAN










