Kos operasi klinik meningkat hingga 120%

Kos operasi klinik meningkat hingga 120%

DR. SHANMUGANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 10,000 klinik swasta di seluruh negara bakal berdepan masalah untuk meneruskan kelangsungan perkhidmatannya apabila kos operasinya meningkat antara 80 hingga 120 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan.

Bagi memastikan sebuah klinik swasta terus beroperasi antara kos utama dihadapi pe­ngusaha adalah bayaran gaji kakitangan, utiliti, sewa premis, insurans indemniti dan pematuhan terhadap semua regulatori diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Lebih mendukacitakan pi­hak berkenaan, apabila Belanjawan 2026 hanya menekankan peningkatan kadar siling caj konsultasi daripada RM35 kepada RM80 sedangkan harga lantai kekal iaitu RM10.

Presiden Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr. Shan­­­mu­­ganathan T. V. Ganeson ber­­­­­ka­ta, apa yang mencetuskan kebimbangan pihaknya adalah harga lantai caj konsultasi klinik swasta iaitu RM10 menjadi harga penanda digunakan pihak ketiga (TPA) untuk menekan bayaran kepada klinik panel.

Katanya, dalam banyak kontrak, TPA bukan sahaja mene­tapkan bayaran konsultasi rendah tetapi terdapat juga potongan transaksi antara RM8 hingga RM10 bagi setiap pesakit.

“Sebagai contoh, jika bil kli­nik adalah RM70, klinik mungkin hanya menerima bayaran sekitar RM0 selepas potongan. Keadaan ini menghakis kelangsungan kewangan klinik swasta.

“Ia bakal memberi kesan besar kepada klinik di kejiranan kecil yang menjadi akses pertama untuk golongan B40 dan komuniti rentan bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, sudah banyak klinik swasta terpaksa menutup operasi kerana caj konsultasi tidak lagi mampu menampung kos operasi asas mereka.

Katanya, penutupan melibatkan klinik baharu dan sebilangannya membabitkan dok­tor kanan yang memberhentikan perkhidmatan kerana pendapatan semakin merosot.

“Jika trend ini berterusan, lebih banyak klinik swasta akan gulung tikar dan pesakit tiada pilihan lain selain mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan yang sudah pun sedia sesak.

“Akhirnya, rakyat akan menanggung bebannya kerana terpaksa melalui masa menunggu lebih lama, beban kepada sistem kesihatan awam meningkat dan akses kepada rawatan primer semakin berkurangan,” katanya.

Dr. Shan­­­mu­­ganathan berkata, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan persatuan lain mencadangkan supaya caj konsultasi iaitu harga lantainya pada kadar RM50 dan siling RM125.

“Kadar RM50 yang dicadangkan adalah angka yang dapat menangani kos sebenar pengurusan klinik manakala RM125 pula setanding dengan bayaran untuk pegawai perubatan am (GP) di hospital yang dilaksanakan semakan pada 10 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata, FPMPAM kini sedang bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan doktor swasta lain bagi menyakinkan kerajaan supaya lebih realistik dalam menetapkan caj konsultasi.

“Matlamat kami jelas, caj konsultasi mesti mencerminkan kos sebenar operasi klinik, supaya klinik swasta kekal berdaya maju dan rakyat terus mendapat akses rawatan yang cepat dan berkualiti.

“FPMPAM akan terus membawa data, fakta dan hujah ekonomi kesihatan untuk me­mastikan keputusan yang dibuat bukan sekadar angka atas kertas, tetapi berdasarkan realiti di lapangan dan kepen­tingan pesakit,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN