Kemusnahan banjir di Sekolah Tengku Budriah, terburuk dalam 15 tahun - Utusan Malaysia

Kemusnahan banjir di Sekolah Tengku Budriah, terburuk dalam 15 tahun

PENOLONG Kanan Pendidikan Khas STB, Mohd. Zulkifli Tahir,44, menunjukkan barangan yang musnah termasuk buku-buku ekoran banjir besar di Sekolah Tengku Budriah (STB), Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Banjir besar melanda negeri ini yang disifatkan terburuk sejak tempoh 15 tahun menyebabkan kemusnahan kira-kira 90 peratus Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini.

Banjir tersebut menyebabkan sekolah berkenaan tenggelam sehingga paras dada.

Kemusnahan membabitkan bilik darjah, bilik muzik, pusat komputer, bilik guru, kantin selain peralatan seperti buku latihan, murid, rak buku, meja tulis serta pelbagai lagi kelengkapan serta kemudahan lain.

Utusan Malaysia yang meninjau kerja-kerja pembersihan oleh guru-guru, ibu bapa dan sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis selepas keadaan banjir di Arau sudah surut mendapati segala kelengkapan di sekolah itu musnah selain diselubuti lumpur tebal.

Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim berkata, tahap kemusnahan meliputi 99 peratus dengan dijangka mengambil masa dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya.

Katanya, dalam tempoh tersebut, murid-murid sekolah itu akan menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sekolah ini, sudah tiga kali terjejas dengan banjir besar iaitu pada tahun 2005, 2010 dan banjir kali ini yang agak luar biasa. Ketika banjir teruk di Arau sebelum ini, air sehingga paras dada dan sekolah tenggelam selama dua hari.

“Kita akan bergotong-royong membuang kelengkapan yang rosak tersebut dahulu sebelum proses pembersihan oleh bomba dengan turut dibantu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sukarewalan dari UiTM,” katanya.

GURU-guru, ibu bapa dan sukarelawan bertungkus-lumus membersihkan lumpur tebal dan kemusnahan ekoran banjir besar di Sekolah Tengku Budriah (STB), Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Penolong Kanan Pendidikan Khas STB, Mohd. Zulkifli Tahir,44, berkata, bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) antara paling teruk terjeas dengan kebanyakan barangan, komputer dan buku musnah sepenuhnya.

“Gotong-royong hari ini (semalam) dalam keadaan lumpur masih tebal, kita membuang dahulu barangan yang rosak. Peringkat seterusnya selepas ini, pembersihan.

“Banjir kali ini disifatkan antara paling buruk sejak 15 tahun yang menyebabkan kemusnahan teruk di sekolah ini,” katanya yang bertugas di STB sejak 15 tahun lalu.

Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Dr. Ismail Ma’arof pula berharap agar bantuan segera disalurkan di STB yang terjejas teruk.

“Mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga diharap dapat membantu khususnya daripada segi keperluan dan kerja-kerja pembersihan yang mungkin akan memakan masa yang lama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN