KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam yang baharu pada Selesa depan sempena sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ketiga 2025 yang bermula esok.
Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, enakmen itu merupakan pembaharuan sepenuhnya daripada RUU Enakmen Keluarga Islam 2002 lalu.
Katanya, RRU akan dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.
“Sebaik sahaja pembentangan selesai, sesi perbahasan RUU itu akan dilakukan. Enakmen baharu ini secara dasarnya akan memfokuskan had hukuman yang perlu ditingkatkan berbanding sebelum ini.
“Penggubalan ini selari dengan nilai wang semasa selain beberapa kesalahan baharu dalam kekeluargaan Islam terutamanya membabitkan perkahwinan,” katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Mohd. Amar memberitahu, sidang DUN selama lima hari yang bermula esok itu akan dimulakan dengan pembentangan belanjawan negeri esok.
Katanya, pembentangan itu akan dibuat oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.-UTUSAN








