SEREMBAN: Kelab Diraja Sungei Ujong di sini mengeratkan hubungan dalam kalangan ahlinya menerusi penganjuran majlis makan malam dan tarian sempena sambutan Deepavali, kelmarin.
Majlis berlangsung cukup meriah dengan pelbagai persembahan dan dihadiri lebih 200 ahli bersama keluarga masing-masing.
Presiden kelab, Datuk S. Laxmi Kandan berkata, penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar meraikan sambutan Deepavali tetapi turut menjadi wadah mengukuhkan hubungan dalam kalangan ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Selain Deepavali, kami juga menganjurkan majlis sambutan untuk perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas.
“Menerusi penganjuran majlis seperti ini, kami dapat melakukan silang budaya di mana setiap ahli kelab akan memakai baju tradisional kaum lain semasa sambutan perayaan. Dengan cara ini, kita dapat hidup harmoni bersama masyarakat berbilang bangsa dan kaum,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut kelmarin.
Tambahnya, majlis dianjurkan juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi melaksanakan program kebajikan anjuran kelab termasuk memberikan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Am Makanan dan Minuman, Kelab Diraja Sungei Ujong, S. Kavitha berkata, penganjuran program itu menjadi simbol kesatuan dan kekeluargaan dalam kalangan ahli kelab tersebut.
“Kami galakkan ahli membawa ahli keluarga dan sahabat handai supaya semua dapat menyambut perayaan Deepavali bersama. Walaupun ia sambutan Deepavali, tetapi kehadiran pelbagai kaum mencerminkan semangat muhibah yang kami ingin pupuk.
“Sambutan Deepavali membawa makna mendalam dalam kehidupan masyarakat majmuk negara ini. Setiap individu perlu menjadi cahaya kepada orang di sekeliling. Seperti Deepavali, kita menyebarkan cahaya dan kasih sayang agar hubungan kekeluargaan dan persahabatan sentiasa terjalin,” katanya.
Menurut Kavitha, acara persembahan tarian dan kebudayaan masyarakat India, nyanyian lagu-lagu popular Bollywood serta pertandingan membalut sari telah menceria dan memeriahkan acara tersebut.
“Majlis turut melibatkan persembahan daripada ahli kelab. Ada yang minat untuk membuat persembahan tetapi mereka malu untuk tampil.
“Jadi, kami mengambil inisiatif bagi menggalakkan mereka membuat satu persembahan di majlis ini untuk membina keyakinan diri mereka. Apa yang penting, kita mahu semua yang hadir rasa seperti satu keluarga besar,” katanya.-UTUSAN.

								
											








