SEREMBAN: Berdepan masalah penglihatan tidak sedikit pun menghalang Azfar Irfan Danish Azrul Fahmee, 23, cemerlang dalam pelajaran.
Ia dibuktikan apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Program Keselamatan dan Jaminan Maklumat itu memperoleh Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Menurut Azfar Irfan, dia dilahirkan dengan mata kanan tidak berfungsi dan hanya bergantung pada mata kiri untuk melihat.
“Pada awal pengajian, memang mencabar kerana banyak masa dihabiskan di depan komputer. Ia agak memenatkan kerana saya menggunakan satu mata sahaja.
“Bagaimanapun, saya cuba belajar menyesuaikan diri dengan membeli monitor lebih besar dan mengambil rehat secukupnya untuk menjaga mata,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini semalam.
Katanya, dia memilih untuk belajar tanpa modul khas atau alat bantu belajar, kerana ingin mencabar diri sekali gus membuktikan bahawa pelajar istimewa sepertinya juga mampu bersaing dengan orang lain.
“Tidak dinafikan, ada segelintir pihak yang memandang rendah keupayaan saya, tetapi itu jadi motivasi kepada saya untuk membuktikan bahawa pelajar orang kurang upaya (OKU) juga boleh menceburi bidang ini,” katanya yang sudah bekerja di sebuah syarikat multinasional dalam sektor minyak dan gas di ibu negara.
Dalam pada itu, dia berkata Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM turut memainkan peranan dalam membantu pelajar OKU sepertinya sepanjang pengajian.
“Bagi saya, OKU bukan orang kurang upaya, tetapi orang kelebihan upaya. Sebab ia mendorong kita untuk lebih gigih bersaing dan membuktikan kemampuan diri,” katanya.-UTUSAN.










