Israel 'tidak senang duduk', AS mungkin gugurkan fasa pelucutan senjata Hamas

Israel ‘tidak senang duduk’, AS mungkin gugurkan fasa pelucutan senjata Hamas

RAKYAT Palestin duduk di luar kediaman sementara di sepanjang jalan berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbang untuk menggugurkan fasa dalam pelan damainya yang melibatkan pasukan penstabilan di Gaza bagi melucutkan senjata Hamas, membolehkan usaha pembinaan semula wilayah tersebut dimulakan lebih awal.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak awal Oktober masih berada pada fasa pertama, sementara rundingan mengenai langkah seterusnya tertangguh akibat perbezaan pendapat berhubung pelucutan senjata Hamas serta hala tuju pentadbiran masa depan Gaza.

Perubahan yang dipertimbangkan Washington itu dilaporkan menyebabkan rundingan dengan Israel mengenai masa depan Gaza ‘berdepan jalan buntu’, menurut sumber yang dipetik Channel 13 News.

Sumber keselamatan Israel mendakwa, Rumah Putih kini menghadapi kesukaran mendapatkan komitmen daripada negara ketiga untuk terlibat dalam usaha melucutkan senjata Hamas, menyebabkan Washington mula mempertimbang ‘penyelesaian sementara yang pada masa ini tidak dapat diterima oleh sekutunya itu’.

“Keadaan sementara ini adalah yang paling buruk. Hamas semakin membina kekuatan dalam beberapa minggu ini sejak berakhirnya perang.

“Tiada pemulihan boleh dilakukan selagi proses pelucutan senjata belum dibuat. Ia bercanggah dengan rancangan Trump,” kata seorang pegawai kanan Israel kepada media tersebut.

Amerika Syarikat (AS), yang bertindak sebagai penjamin perjanjian itu, kini menggerakkan satu resolusi untuk diundi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin.

Draf resolusi itu, yang diperoleh dan disahkan The Times of Israel minggu lalu, mengandungi keseluruhan pelan 20 perkara Trump, yang turut disokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam sidang media bersama pada September.

Draf tersebut memberi kuasa kepada negara anggota untuk menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa sementara dengan mandat yang dijangka berkuat kuasa sehingga 2027.

Negara-negara yang menyatakan kesediaan menghantar tentera menegaskan mereka memerlukan resolusi PBB yang mengiktiraf penubuhan pasukan tersebut.

DRAF RESOLUSI RUSSIA

Menurut laporan diterbitkan penyiar awam, KAN kelmarin, Israel sudah memulakan persediaan awal bagi kemasukan ribuan tentera asing ke Gaza, dengan menjangkakan Majlis Keselamatan PBB akan meluluskan resolusi tersebut.

Laporan itu mendakwa, Israel mahu pasukan asing diberi kuasa luas untuk melucutkan senjata Hamas.

Namun, kebanyakan negara yang menyatakan minat menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa menegaskan mereka tidak bersedia menguatkuasakan pelucutan senjata kumpulan pejuang Palestin itu, sebaliknya hanya mahu bertindak sebagai pasukan pengaman.

Dalam kenyataan bersama yang diatur AS pada Jumaat lalu, beberapa negara yang terlibat dalam usaha menamatkan konflik Gaza menyuarakan sokongan terhadap resolusi Washington di Majlis Keselamatan.

Kenyataan, disokong Qatar, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan dan Turkiye, menyatakan cadangan tersebut ‘menawarkan laluan ke arah penentuan nasib sendiri dan pembentukan negara Palestin’.

Pada masa sama, Russia, anggota tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto, mengedarkan draf resolusi lain kepada ahli majlis.

Menurut teks yang dilihat AFP pada Jumaat, draf Russia itu tidak memperakukan penubuhan lembaga keamanan atau penugasan segera pasukan antarabangsa di Gaza.

Sebaliknya, draf tersebut hanya mengalu-alukan ‘inisiatif yang membawa kepada gencatan senjata’ tanpa menyebut nama Trump, dan meminta Setiausaha Agung PBB mengemukakan laporan mengenai kemungkinan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di wilayah Gaza yang musnah akibat perang.

NETANYAHU DIASAK TEKANAN

Sementara itu, Netanyahu diasak tekanan daripada dua menteri sayap kanannya yang mendesak Perdana Menteri Israel itu menolak sebarang cadangan yang dilihat menyokong pembentukan negara Palestin.

Ini susulan kebangkitan semula usaha diplomatik untuk memuktamadkan perjanjian normalisasi dengan Arab Saudi serta kenyatan bersama beberapa negara mengenai pelan 20 perkara Trump untuk Gaza berhubung ‘menawarkan laluan ke arah penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin’.

Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich menuduh Netanyahu ‘berdiam diri dan memalukan diplomatik’ mengenai isu tersebut, dengan mendakwa perdana menteri gagal memberi respons tegas terhadap beberapa pengiktirafan unilateral negara Palestin oleh beberapa negara kebelakangan ini.

Smotrich menuntut Netanyahu segera merangka respons tegas dan wajar bagi menjelaskan kepada dunia kononnya ‘negara Palestin tidak akan pernah ditubuhkan di wilayah tanah air kami’.

Bulan lalu, Smotrich turut menegaskan tidak akan bersetuju dengan perjanjian normalisasi jika ia membawa kepada pembentukan negara Palestin, sambil menyindir Arab Saudi boleh ‘terus menunggang unta’.

Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, turut menyertai kempen tekanan itu dengan mendakwa tidak wujud istilah ‘bangsa Palestin’.

“Penyelesaian sebenar di Gaza hanyalah dengan menggalakkan penghijrahan secara sukarela,” katanya sambil menegaskan parti Otzma Yehudit tidak akan menyertai kerajaan yang bersetuju dengan penubuhan negara Palestin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN