GAZA: Warisan sejarah serta budaya Gaza tidak terlepas daripada serangan udara Israel sepanjang perang dua tahun di wilayah itu, dengan lebih 20,000 artifak dari era prasejarah hingga zaman Uthmaniyah dilaporkan hilang dan dicuri.
Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail al-Thawabteh berkata, tentera Israel secara sistematik memusnahkan tapak arkeologi Gaza sebagai sebahagian daripada dasar untuk memadamkan identiti Palestin.
Menurut data rasmi, pasukan Israel memusnahkan sepenuhnya atau sebahagian lebih 316 tapak arkeologi serta bangunan di Gaza, kebanyakannya berasal dari era Mamluk dan Uthmaniyah, manakala sebahagian lain pula berasal dari abad Islam awal dan era Byzantine.
Qasr al-Basha, istana era Mamluk yang dibina di tapak warisan UNESCO sejak 800 sebelum Masihi, turut menjadi sasaran sistematik Israel dalam memusnahkan sejarah Gaza.
Terletak di kejiranan Al-Daraj, Kota Lama Gaza, 70 peratus istana Qasr al-Basha rosak akibat serangan Israel, menurut Hamouda Al-Dahdar, pakar warisan budaya di Pusat Pemeliharaan Warisan Budaya di Bethlehem, Tebing Barat yang diduduki.
Juruteknik dan pekerja masih meneruskan pencarian artifak yang tertimbus di bawah runtuhan, menggunakan peralatan asas untuk memulihkan dan memelihara apa yang tinggal daripada identiti sejarah Gaza.
“Apa yang berlaku terhadap warisan Gaza bukan sekadar kemusnahan, ia adalah rompakan terancang, satu amalan jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan dianggap sebagai serangan terhadap warisan budaya global,” kata Thawabteh.
Beliau berkata, lebih 20,000 artifak dari era prasejarah hingga Uthmaniyah yang sebelum ini disimpan di muzium telah hilang semasa perang Israel.
Dahdar turut mengesahkan kehilangan ribuan artifak berharga selepas pasukan Israel menyerbu dan memusnahkan tapak tersebut.
“Setiap artifak ini mempunyai kepentingan sejarah dan mewakili bab dalam sejarah peradaban Palestin,” kata Dahdar, sambil menyifatkan rompakan ini sebagai jenayah budaya berat yang menjejaskan identiti negara dan warisan bersama umat manusia.
Pakar itu menambah bahawa tapak berkenaan sebelum ini juga pernah mengalami kemusnahan teruk semasa operasi ketenteraan Israel sebelum pengunduran mereka pada 1994.
Selepas pengunduran itu, Pihak Berkuasa Palestin memulihkan istana berkenaan dan menjadikannya muzium menampilkan koleksi sejarah yang berharga.
Israel menakluk Semenanjung Gaza pada 1967 dan berundur pada 1994 di bawah Perjanjian Oslo 1993 dengan Organisasi Pembebasan Palestin (PLO). – AGENSI









