GAZA: Suhu sejuk dan hujan lebat terus memburukkan penderitaan ratusan ribu keluarga Palestin yang hilang tempat tinggal di seluruh Gaza, ketika Israel masih menyekat kemasukan khemah serta bekalan perlindungan penting ke wilayah dikepung itu.
Pertubuhan kemanusiaan sejak beberapa minggu lalu memberi amaran rakyat Palestin yang tinggal di kem pelarian dan tempat perlindungan sementara tidak mempunyai kelengkapan mencukupi untuk menghadapi musim sejuk.
Ramai daripada mereka dipaksa berpindah berkali-kali akibat dua tahun pengeboman Israel yang merosakkan dan memusnahkan lebih 198,000 struktur di seluruh Gaza, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
PBB dan pertubuhan kemanusiaan berulang kali mendesak Israel menarik balik sekatan ke atas bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang menyaksikan lebih 69,000 nyawa terkorban sejak peperangan bermula dua tahun lalu, namun kerajaan Israel terus mengekalkan sekatan ketat walaupun perjanjian gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Awal bulan ini, kumpulan bantuan melaporkan seramai 260,000 keluarga Palestin, melibatkan hampir 1.5 juta orang, berada dalam keadaan amat rentan menjelang musim sejuk.
Dalam masa sama, UNRWA memaklumkan ia mempunyai bekalan perlindungan mencukupi untuk membantu sehingga 1.3 juta rakyat Palestin, namun tidak dapat membawa masuk bekalan itu ke Gaza akibat sekatan Israel.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, penghantaran bantuan kini lebih kritikal berikutan musim sejuk tiba serentak dengan krisis perpindahan besar-besaran di Gaza.
“Gaza kini sejuk dan basah. Penduduk yang dipindahkan terpaksa berdepan musim sejuk tanpa kelengkapan asas untuk melindungi diri daripada hujan dan kesejukan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Menyifatkan keadaan itu sebagai ‘derita atas derita’, Lazzarini berkata tempat perlindungan di Gaza mudah dinaiki air sehingga merosakkan barang-barang milik rakyat Palestin.
“Lebih banyak bekalan perlindungan amat diperlukan, segera,” katanya.- AGENSI










