PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited memperkukuh nilai integriti dan inovasi sebagai asas kekuatan serta daya saing pertahanan negara, melalui tadbir urus berintegriti, pengamalan nilai moral tinggi, dan budaya inovasi dalam setiap inisiatif strategik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, gabungan kedua-dua nilai itu penting kerana integriti dan inovasi saling melengkapi serta menjadi asas kepada kekuatan organisasi seperti
MINDEF yang berteraskan nilai kemanusiaan, etika dan tanggungjawab sosial, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Malah, sebanyak 10 permohonan paten hasil ciptaan inovasi warga MINDEF kini dalam proses pendaftaran di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Ini bertujuan melindungi hak cipta inovasi berimpak tinggi yang berpotensi diaplikasikan di semua perkhidmatan,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran Sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan (MINDEF) Tahun 2025 di Wisma Pertahanan semalam.
Sebanyak 33 penerima individu dan berkumpulan diraikan melalui penyampaian hadiah kepada 18 pemenang Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) Kementerian Pertahanan, empat pemenang pilihan juri dan 11 pemenang antarabangsa di SIIF 2024 serta IID 2025.
Dalam majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan Pelan Antirasuah Organisasi MINDEF 2025-2029 kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MINDEF, Mohd. Yani Daud mewakili Ketua Setiausaha MINDEF, serta Pelan Pembanteras Rasuah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025-2029 kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris, mewakili Panglima Angkatan Tentera.
Sementara itu, Mejar Ir. Ts. Nazrun Nabill Azlan Shah yang mengetuai kumpulan “Iron Hand” bersama empat pegawai dan anggota dari 34 Woksyop Armor, Rejimen Keempat Kor Armor Diraja, Kem Penrissen Kuching berkata, cabaran mendapatkan bekalan air bersih di lapangan khususnya di kawasan pendalaman di Sarawak antara pencetus idea pasukannya menghasilkan Free Energy Water Pump.
Beliau berkata, inovasi tersebut merupakan sistem pam air mudah alih berasaskan tenaga solar yang mampu menghasilkan dan menyalurkan air bersih tanpa kebergantungan kepada bateri atau generator.
Katanya, sistem yang dibangunkan pada 2023 mengambil masa dua tahun untuk disempurnakan melalui beberapa siri pembangunan prototaip sehingga mendapat pengiktirafan apabila melalui pingat emas dalam Pertandingan Hari Inventor di Indonesia selain johan Anugerah Horizon Baharu KIK Kementerian Pertahanan 2025.
“Setiap prototaip kami uji di lapangan dan kami ambil maklum balas daripada pengguna sendiri. Melalui proses itu, kami berjaya menghasilkan versi akhir yang lebih ringan, senyap, mudah alih dan berkeupayaan menjana air sehingga lebih tiga jam menggunakan tenaga solar.
“Antara cabaran utama dalam pembangunan pam tersebut ialah memastikan sistem berfungsi secara optimum dalam keadaan cuaca tropika serta mempunyai keupayaan penyimpanan tenaga mencukupi bagi operasi berterusan dengan ciri bunyi rendah pula membantu mengekalkan kerahsiaan operasi, berbeza dengan pam konvensional yang biasanya mengeluarkan bunyi kuat,” katanya.
Menurut Pegawai Waran 1 Komunikasi Mohd. Fardaus Baharom dari Cawangan Peperangan Elektronik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), inovasi Mobile Comint direka untuk membolehkan pasukan TLDM mendengar komunikasi atau perbualan pihak tertentu tanpa dikesan, sekali gus meningkatkan keupayaan pemantauan dan keselamatan operasi di lapangan.
“Alat ini berfungsi menganalisis dan menjejak gelombang spektrum bagi tujuan risikan komunikasi serta mampu beroperasi pada kos jauh lebih rendah berbanding peralatan konvensional sedia ada.
“Idea projek tercetus hasil perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap isu peralatan kapal yang mahal dan memerlukan belanja penyelenggaraan tinggi. Melalui pembangunan Mobile Comint, TLDM berjaya menghasilkan peranti dengan kos di bawah RM40,000 berbanding sistem asal bernilai jutaan ringgit bagi setiap kapal.
“Kita turut menjalankan ujian lapangan di perairan Pulau Tengah, Johor bagi memastikan tahap kestabilan transmisi dan kejelasan audio alat berkenaan. Ujian tersebut menjadi antara cabaran utama, selain aspek masa dan kewangan sepanjang proses pembangunan,” katanya.
Satu lagi inovasi hasil kepakaran anak tempatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Air Intake Screen Modification (AIS-Mod) yang kini menjadi perisai utama yang melindungi pesawat pejuang negara daripada masalah kerosakan akibat benda asing (FOD).
Pegawai Staf 2 Sistem Group A5 (PS 2 Sis Gp A5 (Sukhoi) Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Mejar Mohd. Khairil Ashraf Maton TUDM berkata, pasukannya berjaya menyesuaikan masa pembukaan skrin ketika pesawat berlepas dan mempercepatkan penutupannya ketika mendarat, iaitu dua fasa paling kritikal bagi risiko kemasukan objek asing. – UTUSAN










