PETALING JAYA: Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melahirkan lebih ramai graduan kelas pertama bagi Ijazah Sarjana Muda iaitu dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 ke atas berbanding Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Ini dibuktikan apabila seramai 42,208 daripada 97,044 graduan IPTA mencatat PNGK 3.50 ke atas berbanding 18,446 daripada 59,904 graduan IPTS pada tahun 2024.
Daripada jumlah tersebut menunjukkan 70 peratus atau 41,485 graduan IPTS tidak mendapat PNGK 3.50 ke atas berbanding hanya 56 peratus atau 54,836 graduan dari IPTA.
Perbandingan ini jelas menafikan tanggapan bahawa IPTS lebih mudah melahirkan graduan kelas pertama, sebaliknya membuktikan IPTA jauh mendahului dari segi pencapaian akademik tertinggi, sekali gus menimbulkan persoalan tentang standard dan ketelitian penilaian di sesetengah IPTS.
Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2024, sebanyak 45.6 peratus atau 44,237 graduan ijazah sarjana muda IPTA memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.49, diikuti 24.9 peratus atau 24,155 graduan (3.50 hingga 3.69) dan 18.6 peratus atau 18,053 graduan ( 3.70 hingga 4.00).
Bagaimanapun, 10.9 peratus graduan IPTA memperoleh PNGK di bawah 3.00, termasuk 9.3 peratus (2.50 hingga 2.99) dan 0.6 peratus antara (2.00 hingga 2.49).
Bagi IPTS, sebanyak 41.9 peratus graduan mencatat PNGK 3.00 hingga 3.49, diikuti 17.1 peratus mendapat (3.50 hingga 3.69), 16.1 peratus (2.50 hingga 2.99), manakala 13.7 peratus atau 8,227 graduan mencapai PNGK tinggi 3.70 hingga 4.00, menunjukkan corak sedikit berbeza berbanding IPTA.
Setakat ini, terdapat sebanyak 374 IPTS berdaftar di negara ini, berbanding hanya 20 IPTA.
Pada masa ini juga, untuk memperoleh kelas pertama di Universiti Awam (UA), graduan perlu mencapai PNGK sekurang-kurangnya 3.5 ke atas.
Sebagai contoh, Universiti Teknologi MARA (UiTM) memerlukan PNGK 3.5 ke atas, manakala Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menetapkan PNGK 3.67 ke atas. Bagi Universiti Malaya (UM), kelayakan untuk kelas pertama adalah PNGK 3.7 ke atas.
Bagi IPTS pula, syarat PNGK untuk memperoleh kelas pertama berbeza mengikut universiti.
Antaranya, Taylor’s University dan Sunway University menetapkan PNGK 3.67 ke atas, Asia Pacific University (APU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memerlukan 3.5 ke atas, manakala Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menetapkan 3.7 dan Management & Science University (MSU) pula 3.67.
Mengulas perkara ini, Pakar Pentadbiran Pendidikan dari UKM, Dr Aida Hanim A Hamid berkata, tidak dapat dinafikan wujud persepsi bahawa pelajar di UA dan Universiti Swasta (US) mempunyai kadar atau nisbah berbeza dalam memperoleh ijazah kelas pertama.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persepsi itu tidak boleh disimpulkan semata-mata sebagai universiti swasta memberi gred mudah kepada pelajarnya.
Menurut beliau, banyak faktor lain yang menyumbang kepada perbezaan ini, termasuk kriteria pemilihan pelajar, jenis program ditawarkan, kestabilan akademik, beban pelajar serta sistem penilaian di setiap institusi.
“Dalam keadaan ideal, apabila membandingkan UA dan US, kita perlu memastikan aspek yang sama seperti program atau disiplin, tahap pelajar, syarat kemasukan dan kriteria penilaian barulah perbandingan dianggap adil.
“Dari segi imej, jika pelajar US dilihat memperoleh kelas pertama pada kadar tinggi, institusi atau pengkritik akan meneliti sama ada ia hasil peningkatan mutu atau kelemahan kawalan kualiti.
“Oleh itu, wajar persoalkan dan teliti, tetapi tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa kelas pertama di swasta lebih mudah diperoleh tanpa bukti kontekstual yang kukuh,” jelas beliau,” katanya. – UTUSAN










