KANGAR: UMNO Kangar menyampaikan 300 unit toto kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar di sini.
Dalam masa sama, barangan asas yang ditaja Pasaraya Sakan melalui Yayasan Khayr Ummah (iKAF) bernilai RM150,000 turut disalurkan.
Selepas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) diaktifkak sepenuhnya semalam, Ahli Jawatankuasa (AJK), Pemuda, Puteri UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kasih, Myvo serta Anak Jati Perlis telah menyampaikan 300 unit toto daripada Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Fathul Bari memberitahu, bantuan lain akan menyusul daripada semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan rakyat.
Beliau juga memohon perhatian serius daripada kerajaan Persekutuan agar bantuan kepada mangsa banjir termasuk makanan, kewangan dan keperluan asas dapat dipertimbangkan disegerakan dan diselaraskan sebaik mungkin.

“Pada masa sama, saya memohon diperhalusi bantuan pasca banjir kerana ia amat diperlukan bagi mereka yang pulang ke rumah dengan kerosakan besar.
“Begitu juga para petani dan peniaga kecil yang terjejas. Semoga usaha pemulihan dapat diuruskan dengan cemerlang agar rakyat dapat bangkit semula dan meneruskan kehidupan dengan penuh kesejahteraan,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul Bari juga memohon maaf kerana pada hari bermulanya banjir beliau berada di Sabah atas urusan yang telah dijadualkan lebih awal.
“Namun sebelum berangkat, saya telah mengarahkan AJK UMNO Bahagian Kangar memantau cuaca serta risiko banjir di kawasan kita. Pada peringkat awal, ketiadaan penyelarasan rasmi menyebabkan beberapa PPS menghadapi kekeliruan dan gangguan komunikasi.
“Dalam situasi sebegini, kejelasan arahan amat penting dan kelewatan mewujudkan pusat penyelarasan rasmi sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran gerak kerja awal.
“Bagaimanapun saya tetap menghargai tindakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail yang akhirnya mengaktifkan PKOB sebagai pusat penyelarasan tunggal dan langkah ini wajar dipuji meskipun hadir lewat.
“PKOB amat penting untuk memastikan keputusan dapat dibuat lebih cepat, bantuan disalur lebih bersasar, teratur, inklusif dan setiap agensi bergerak dengan koordinasi yang mantap,” katanya.-UTUSAN










