JOHOR BAHRU: Industri kitar semula plastik di negara ini mampu menjana nilai daripada hanya RM4.5 bilion setahun kepada RM20 bilion setahun dalam tempoh satu dekad akan datang.
Angka itu dapat dicapai sekiranya polisi Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) yang memerlukan para pengeluar contohnya produk minuman, diwajibkan memastikan sampah yang terhasil seperti botol minuman dikitar semula demi kelestarian alam.
Malaysia merekodkan penghasilan 39,000 tan metrik sisa pepejal sehari yang perlu diangkut oleh 3,000 lori sampah ke lebih 130 tapak pelupusan yang rata-ratanya berdepan isu jangka hayat.
Ketua Perwakilan Malaysia US-ASEAN Business Council (US-ABC), Tina Jamaluddin berkata, peluasan atau pembinaan tapak pelupusan baharu bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah sering mendapat tentangan awam disebabkan kebimbangan terhadap alam sekitar dan kesihatan.
“EPR menangani cabaran ini dengan menjadikan pengeluar bertanggungjawab terhadap pengurusan produk mereka pada akhir kitar hayat, sekali gus menggalakkan reka bentuk yang memanjangkan jangka hayat produk dan memudahkan proses kitar semula.
“Pada 2024, kadar kitar semula negara mencapai 37.9 peratus hampir mencapai sasaran 40 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“EPR mengalihkan tanggungjawab kepada pengeluar, mendorong mereka melabur dalam sistem pengumpulan yang sesuai, pusat kitar semula dan logistik bagi skim ambil semula (take-back schemes),” katanya pada Sesi Perbincangan Polisi: Memahami Model dan Skim EPR di sini, Selasa lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA), Roberto Benetello selaku salah seorang ahli panel berkata, tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengasingkan sisa pepejal sebelum dibuang menjadi cabaran utama dalam proses kitar semula.
Katanya, perkara itu menyebabkan semua sisa pepejal termasuk yang boleh dikitar semula dibuang terus ke tapak pelupusan sampah, lantas menyumbang kepada pemendekan jangka hayatnya.
“Untuk melaksanakan EPR, kita perlu mewujudkan sistem yang dapat mengasingkan bahan kitar semula di peringkat isi rumah sebelum ia dibawa ke tapak pelupusan.
“Kedengaran sangat mudah, tetapi inilah cabaran terbesar sistem tersebut. Kita perlu mengasingkan bahan kitar semula itu di sumber. Isu di Malaysia ketika ini adalah mencari cara untuk mengintegrasikan EPR ke dalam sistem pengurusan sisa sedia ada,” katanya.
Delegasi US-ABC turut melakukan lawatan ke Hiroyuki Industries (M) Sdn. Bhd. selaku pemain utama industri kitar semula botol minuman di Malaysia.
Dalam lawatan di Bekasi, Indonesia semalam, US-ABC melawat pusat pengumpulan botol minuman plastik Mahija Parahita Nusantara di Cibarusah dan kilang pemprosesan kitar semula Amandina Bumi Nusantara.-UTUSAN.










