DUN Kelantan lulus RUU Keluarga Islam 2025

DUN Kelantan lulus RUU Keluarga Islam 2025

MOHD. Asri Mat Daud a semasa membentangkan RUU Keluarga Islam 2025 semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini-IHSAN MOHD. ASRI MAT DAUD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025  bagi menggantikan Enakmen Keluarga Islam 2002 lalu.

Usul yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud mendapat sokongan penuh daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas dibahaskan dan dibacakan kali ketiga.

Mohd. Asri berkata, RUU yang merangkumi 178 fasal dalam 11 bahagian itu bertujuan memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam urusan perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan anak, pewarisan serta pendaftaran anak susuan bagi menjaga salasilah keturunan umat Islam.

Katanya, ia bagi menggantikan Enakmen Keluarga Islam 2002 yang telah berkuat kuasa lebih 20 tahun tanpa pindaan sejak diwartakan pada 19 Disember 2002 dan mula dilaksanakan pada 1 Oktober 2003.

“Antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuk kuasa Mahkamah Syariah menentukan jantina dalam kes kecelaruan identiti, tanggungjawab anak menanggung nafkah ibu bapa dan leluhur, serta pemberian nafkah kepada wanita nusyuz, bercerai atau kematian suami.

“Melalui tanggungjawab anak menanggung nafkah ibu bapa dan leluhur, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu untuk membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya,” katanya semasa membentangkan RUU Keluarga Islam 2025 semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, RUU ini turut memberikan penekanan kepada penjagaan ibu bapa oleh anak dan perwaris diwujudkan bagi menyelesaikan isu pengabaian ibu bapa serta warga emas.

Katanya, pada masa sama waris pusaka turut bertanggungjawab menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak.

“RUU ini turut  memperkenalkan hukuman restoratif berbentuk khidmat sosial sebagai ganti denda atau penjara bagi kesalahan tertentu seperti poligami tanpa kebenaran mahkamah dan wali,” ujarnya.

ADUN Demit itu berkata, RUU ini selaras dengan Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan, Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan serta Dasar Kanak-Kanak Fitrah sekali gus memperkukuh visi sebagai negeri berkebajikan berpaksikan Islam.

Katanya, penggubalan RUU tersebut bermula sejak tahun 2019 melalui Jawatankuasa Pra Pengkajian Enakmen Negeri yang ketika itu dipengerusikan oleh bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Allahyarham Dr. Md. Yusnan Yusof.

Katanya, ia melalui proses perbincangan panjang bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pakar perundangan dan perubatan serta Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sehingga awal tahun ini.

“RUU ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan negeri menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta selaras dengan maqasid syariah dan dasar Membangun Bersama Islam.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sejak awal penggubalan rang undang-undang tersebut dan berharap ia mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan keluarga Islam di Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN