KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membenarkan rakyat di negeri ini melombong emas menggunakan kaedah mendulang.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan mengeluarkan lesen mengikut syarat-syarat tertentu sebagai rekod.
Katanya, langkah itu bertujuan menjaga keselamatan rakyat yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.
“Pada masa sama, kita (kerajaan negeri) mahu memantau supaya aktiviti tersebut tidak meroskan alam sekitar. Teruskan mendulang atas tanah kerajaan, jangan menceroboh kawasan yang diberikan kepada syarikat atau sesiapa sahaja,” katanya semasa penggulungan pembentangan Belanjawan Kelantan 2026 pada Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, pengumuman tersebut merupakan khabar gembira buat rakyat negeri ini sekali gus memboleh mereka merasai secara langsung nikmat hasil bumi yang ada di Kelantan.-UTUSAN










