DUN Kelantan: Bukit Bunga jadi pusat pertumbuhan baharu ekonomi sempadan Malaysia-Thailand

DUN Kelantan: Bukit Bunga jadi pusat pertumbuhan baharu ekonomi sempadan Malaysia-Thailand

MD. Anizam Abdul Rahman semasa  Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini-IHSAN UPKN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menjadikan pekan Bukit Bunga di Tanah Merah sebagai pusat pertumbuhan baharu ekonomi di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, perkara tersebut telah dimasukan dibawah Rancangan Tempatan Jajahan Tanah Merah 2020 (Pelanjutan 2025) yang menetapkan bahawa Pekan Bukit Bunga sebagai kawasan promosi pembangunan pelancongan sempadan. 

“Bukit Bunga merupakan salah satu pekan yang penting dalam jajahan Tanah Merah. Lokasinya yang strategik berada di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dan terletak di pintu sempadan negara antara Malaysia dan Thailand melalui Bukit Bunga-Buketa.

“Ia memfokuskan kepada pembangunan yang komprehensif dengan keutamaan pembangunan perniagaan dan komponen-komponen sokongan lain,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd. Almidi Jaafar ketika Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Md. Anizam memberitahu, antara komponen pembangunan utama dalam Kawasan Promosi Pembangunan Bukit Bunga 2020 seperti kawasan perniagaan, Kompleks Niaga Bukit Bunga, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Zon Bebas Cukai, Kawasan Pusat Perniagaan, Terminal Pengangkutan Bersepadu serta Kawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bukit Bunga.

Katanya, selain itu ia turut melibatkan pembangunan Kawasan Institusi dan Kemudahan, Pusat Penerangan Pelancongan, masjid, pusat keselamatan, Perpustakaan Awam dan Dewan Serbaguna, Kawasan Rekreasi serta banyak lagi.

“Secara keseluruhannya, kawasan promosi pembangunan di Bukit Bunga melibatkan kawasan seluas 143.40 hektar ataupun 10.30% daripada keseluruhan kawasan Bukit Bunga,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN