Dua kanak-kanak terbunuh setiap hari di Gaza sejak gencatan senjata

Dua kanak-kanak terbunuh setiap hari di Gaza sejak gencatan senjata

KANAK-KANAK Palestin mencari barangan di celah timbunan sampah berhampiran kem pelarian Bureij di tengah Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran hampir dua kanak-kanak terbunuh setiap hari dalam insiden berkaitan konflik di Gaza sejak gencatan senjata bermula.

Ia sekali gus membuktikan keganasan masih berterusan walaupun terdapat persetujuan untuk menghentikan serangan, lapor Anadolu.

Jurucakap UNICEF, Ricardo Pires, berkata sejak 11 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak terbunuh di Gaza, manakala puluhan lagi cedera.

“Ini bermakna hampir dua kanak-kanak terbunuh setiap hari sejak gencatan senjata dikuatkuasakan dan selepas persetujuan pembunuhan mesti dihentikan akhirnya dicapai,” katanya pada sidang media di Geneva.

Pires menegaskan, setiap angka itu mewakili nyawa seorang kanak-kanak yang diragut secara kejam, dan bukan sekadar statistik.

Beliau turut berkongsi apa yang disaksikan pasukan UNICEF di lapangan dengan kanak-kanak tidur di luar tanpa perlindungan, sebahagiannya dengan anggota badan yang dipotong, selain ramai menjadi yatim piatu dan hidup dalam ketakutan di pusat perlindungan sementara yang dinaiki air serta tidak terurus.

“Saya melihatnya sendiri ketika berada di Gaza pada Ogos lalu. Realitinya amat jelas di mana tiada tempat yang selamat untuk mereka, dan dunia tidak boleh terus menormalkan penderitaan ini,” ujarnya.

Walaupun operasi bantuan ditingkatkan, UNICEF mengakui usahanya masih jauh daripada mencukupi dan Pires berkata agensi itu boleh melakukan lebih banyak jika bantuan yang amat diperlukan dapat memasuki Gaza dengan lebih cepat.

Mengulas keadaan musim sejuk yang semakin hampir, Pires memberi amaran ratusan ribu kanak-kanak yang berlindung di pusat penempatan sementara kini berdepan risiko tinggi.

Menurut UNICEF, kanak-kanak di Gaza kini berdepan kesukaran ekstrem tiada pemanas, tiada penebat, dan selimut yang terlalu sedikit di mana jangkitan pernafasan semakin meningkat, manakala air tercemar terus menyebarkan cirit-birit.

Tambah beliau, kanak-kanak masih berkeliaran di atas runtuhan bangunan dengan tanpa berkasut.

“Sudah terlalu ramai kanak-kanak membayar harga tertinggi dan ramai lagi masih membayarnya, walaupun ketika gencatan senjata. Dunia berjanji perang akan dihentikan dan kita akan melindungi mereka,” katanya sambil menggesa, agensi tersebut untuk bertindak seperti yang dijanjikan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN