PETALING JAYA: Pemberian diskaun saman trafik termasuk kepada pemilik lori membawa muatan berat hanya membuat pemilik syarikat kenderaan berat naik ‘lemak’ dan tidak gentar melanggar undang-undang.
Aktivis masyarakat, Azlan Sani Zawawi berkata, tindakan itu juga hanya menunjukkan kelemahan penguatkuasaan terhadap kesalahan muatan berlebihan yang semakin berleluasa sehingga mengorbankan banyak nyawa di jalan raya.
“Sudah keluarkan saman banyak kali pun tak guna juga jika akhirnya syarikat ditawarkan diskaun saman.
“Konsep The Less You Delay, The Less You Pay yang diperkenalkan kerajaan tidak sepatutnya digunakan terhadap syarikat pengangkutan kenderaan berat kerana kebanyakannya dimiliki golongan bermodal besar dan ada pengaruh politik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan mendedahkan muatan berlebihan lori tipper sebagai punca utama kemalangan maut melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Azlan atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, isu kenderaan berat terutama dari kawasan kuari bukan perkara baharu, sebaliknya telah menjadi masalah berpanjangan yang gagal dibendung oleh pihak berkuasa.
“Langsung tidak mengejutkan kerana isu tersebut sudah lama dan berulang kali berlaku. Malangnya kali ini ia melibatkan kehilangan nyawa anggota keselamatan negara sendiri,” katanya.
Menurutnya, masalah itu sudah menjadi budaya dalam industri pengangkutan bahan binaan dan kuari kerana dilindungi oleh pelbagai unsur, termasuk rasuah, salah guna kuasa, ancaman tonto dan tawaran diskaun saman yang melemahkan tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata, kelemahan utama bukan semata-mata di peringkat pemandu tetapi bermula daripada syarikat kuari dan pemilik lori sendiri yang membiarkan kegiatan berisiko tinggi itu berlaku.
“Banyak pemandu lori kuari terdiri daripada warga asing yang tiada kemahiran memandu serta tidak faham budaya pemanduan di sini.
“Peningkatan pemandu warga emas juga membimbangkan kerana faktor kesihatan dan kecekapan mereka tidak lagi sesuai untuk tugas sebegini,” katanya.
Pada masa sama, Azlan berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mempunyai tanggungjawab besar kerana banyak laluan rosak akibat kenderaan lebih muatan.
“JKR sepatutnya membantah permit kuari yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selagi laluan digunakan tidak dibina mengikut spesifikasi bagi menampung kenderaan berat,” katanya.
Tambah Azlan, tindakan tegas termasuk penjara perlu dikenakan terhadap mana-mana Exco dan pegawai PTG yang meluluskan permit kuari di laluan tidak sesuai tanpa kajian atau nasihat agensi berkaitan.
“Tiada lagi kompromi, tiada tawaran saman, tiada diskaun saman terhadap pemilik lori berat,” katanya.-UTUSAN.










