China juara dunia kejohanan WAGC di Jeju

China juara dunia kejohanan WAGC di Jeju

DARI kiri; Presiden WAGC, Isac Saminathan dan Pengarah Tourism Malaysia Seoul, Kamilia Hani Abd. Halim bergambar bersama pasukan China yang muncul juara kumpulan pada Kejohanan Dunia WAGC di Jeju, Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan China dinobatkan juara dunia selepas menampilkan aksi cemerlang pada Kejohanan Akhir Dunia World Amateur Golfers Championship (WAGC) 2025 yang berlangsung di Pulau Jeju, menewaskan pasukan Filipina dan Indonesia yang masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga.

Kemenangan itu menamatkan dominasi pasukan Malaysia yang sebelum ini pernah menjuarai kejohanan berprestij itu sebanyak empat kali pada 2018, 2019, 2022 dan 2023 di Sabah, Kuala Lumpur dan Phuket.

Malaysia bagaimanapun masih mencatat keputusan membanggakan menerusi pemain Abdullah Dania (handikap 6) yang menduduki tempat ketiga keseluruhan bagi Kategori Divisyen 2, selepas mencatatkan pukulan konsisten 74, 72, 71 dan 70 dalam empat pusingan permainan menggunakan format Strokeplay Nett.

Tiga pemenang dalam Kategori Divisyen 2, dari kiri; Abdullah Dania (Malaysia), Kevin Leevander (Indonesia) dan Liu Chang Qing (China).

Turut mencuri tumpuan ialah penyertaan legenda bola sepak Liverpool, Jerzy Dudek yang mewakili Pasukan Poland. 

Bekas penjaga gol terkenal itu menamatkan permainan dengan 313 pukulan sekali gus dinobat sebagai Pemain Terbaik Gross dalam Kategori Jemputan Champions of Champions.

Kejohanan selama seminggu itu melabuhkan tirai dengan Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah yang dihadiri lebih 600 tetamu antarabangsa. 

Majlis turut diserikan dengan penyertaan Tourism Malaysia, yang mempromosikan pelbagai destinasi golf dan pelancongan negara.

Antara acara kemuncak ialah upacara penyerahan rasmi bendera WAGC kepada Malaysia, yang bakal menjadi tuan rumah WAGC 2026 di Johor, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Edisi akan datang itu dijangka menarik penyertaan lebih meluas sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi golf utama Asia.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Seoul, Kamilia Hani Abdul Halim yang menyerahkan trofi kepada para pemenang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN