Budak 16 tahun ke bawah dilarang miliki akaun media sosial

Budak 16 tahun ke bawah dilarang miliki akaun media sosial

Saman X
FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak lagi dibenarkan memiliki akaun media sosial sendiri apabila larangan berkenaan dikuatkuasakan mulai 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan mengekang peningkatan jenayah siber melibatkan golongan muda, selain melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi secara atas talian.

Katanya, ia merupakan antara inisiatif kerajaan menerusi kementeriannya untuk mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi mereka daripada pemangsa seksual (pedofil).

“Ini adalah keputusan Kabinet. Kita berharap semua platform media sosial dapat mematuhi arahan kerajaan menjelang tahun depan bagi menghalang pembukaan akaun baharu oleh kanak-kanak bawah 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, di sini semalam.

Menurut Fahmi, kerajaan sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti diamalkan Australia serta beberapa negara lain, selain peruntukan sedia ada dalam Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Setiap negara mengambil pendekatan berbeza, tetapi kita akan memilih mekanisme paling sesuai untuk memastikan kelompok bawah umur ini benar-benar dihalang daripada membuka akaun media sosial,” ujarnya.

Mengulas mekanisme penguatkuasaan, Fahmi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan kewajipan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna (eKYC) oleh semua platform media sosial menggunakan dokumen pengenalan diri rasmi.

“Pengesahan eKYC adalah dengan menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti pasport, MyKad dan MyDigital ID.

“Kita harap platform dapat melaksanakan ciri itu menjelang tahun depan. Jika kerajaan, pengawal selia dan ibu bapa berperanan secara berkesan, saya yakin kita dapat menjadikan internet di Malaysia bukan sahaja pantas dan mampu milik, tetapi yang paling penting selamat untuk kanak-kanak serta keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN