SEOUL: Mahkamah Korea Selatan menolak permohonan waran tangkap terhadap seorang remaja berusia 14 tahun yang didakwa membakar apartmen keluarganya selepas ibu bapa enggan menukarkan telefon pintar baharu, lapor media tempatan.
Menurut polis, Mahkamah Daerah Gwangju membuat keputusan itu selepas perbicaraan pratangkapan, dengan mengambil kira status remaja tersebut sebagai ‘juvana bawah 19 tahun’ mengikut Akta Juvana.
Remaja terbabit didakwa memulakan kebakaran sekitar pukul 10.52 malam pada 20 November, dengan menggunakan pemetik api di bilik tidur tingkat tiga sebuah bangunan apartmen di utara Gwangjut, kata polis.
Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran itu kira-kira 20 minit, namun semua barangan dalam unit tersebut musnah dijilat api.
Sebanyak 17 penghuni apartmen dibawa ke hospital selepas terhidu asap.
Semasa soal siasat suspek, remaja itu dilaporkan memberitahu polis motif perbuatannya adalah sebagai bentuk tindak balas terhadap keengganan ibu bapanya untuk menukar telefonnya kepada model yang membolehkannnya menggunakan media sosial.- AGENSI










