JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin 47, sehingga koma, empat tahun lalu.
Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad menolak rayuan yang difailkan Rosmaini Abd. Raof, 42, dan mengekal keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan silang dibuat pihak pendakwaan terhadap tempoh hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh.
Dalam penghakimannya, Hakim Atan Mustaffa berkata, Mahkamah Sesyen dilihat tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentukan saksi pendakwaan 1 (SP1) adalah saksi yang dipercayai.
“Kemunculan dua eksibit D45 dan D47 yang diragui itu pula hanya dikemukakan selepas tertuduh dipanggil membela diri dan selama perbicaraan lebih dua tahun, versi baharu ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana saksi pendakwaan.
“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen (lokasi kejadian) dan tertuduh juga mengaku pada SP1 dia ada memukul isterinya menggunakan tangan.
“Berdasarkan laporan perubatan juga menunjukkan mangsa cedera parah pada otak dan memerlukan pembedahan, selain tertuduh cuba melarikan diri ketika ditangkap polis,” katanya.
Hakim Atan Mustaffa yang menolak permohonan silang dibuat pihak pendakwaan pula berkata, Mahkamah Tinggi tidak akan campur tangan terhadap keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen.
“Pendakwaan berhujah hukuman penjara selama 10 tahun adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan tahap kecederaan yang serius dialami mangsa.
“Walaupun mahkamah simpati pada mangsa yang kini dalam keadaan memerlukan penjagaan berterusan kesan perbuatan tertuduh, namun mahkamah tidak berpuas hati untuk campur tangan tentang keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen itu,” katanya.
Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala peguam Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili tertuduh.
Muhammad Nor memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan ia dibenarkan mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Pada 25 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan permohonan Rosmaini menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.
Tertuduh sempat dipenjarakan 79 hari selepas Mahkamah Sesyen mensabitkannya bersalah pada 9 Disember 2024.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isteri ketiganya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan isterinya sehingga menyebabkan kecederaan parah. – UTUSAN

								
											






