Bekas penjaga gol Kelantan suspek tembak Mohd. Fuad Fahmie

Bekas penjaga gol Kelantan suspek tembak Mohd. Fuad Fahmie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan salah seorang suspek yang menembak rakyat Malaysia Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand semalam merupakan bekas pemain bola sepak Kelantan FA 2019.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, individu merupakan pemain yang beraksi posisi penjaga gol.

Katanya, bagaimanapun Polis Kelantan masih belum menerima maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek akan melarikan diri ke negara ini. Susulan kejadian itu, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri sudah diperketatkan bagi memburu suspek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebentar tadi.

Sebelum itu pada tahun 2014, pemain berkenaan pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Kelantan.

Dia kemudian melebarkan kariernya sebagai pemain dengan beraksi bersama Yala United FC dan PT Prachuap FC di Liga Thailand.

Pada tahun 2019, pemain itu dibawa masuk untuk memperkuatkan benteng terakhir Kelantan FA.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, rakyat Malaysia yang parah selepas dipercayai ditembak sebanyak lapan kali dalam kejadian di Sungai Golok, Thailand, meninggal dunia malam tadi.

Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, menghembuskan nafas terakhirnya semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN