SUNGAI GOLOK (THAILAND): Bekas penjaga gol Kelantan yang terlibat dalam kes melepaskan tembakan ke arah rakyat Malaysia, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bering, di sini sudah menyerahkan diri di Balai Polis Sungai Golok.
Jurucakap Balai Polis Sungai Golok berkata, suspek tersebut turut menyerahkan pistol yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Suspek datang menyerahkan diri di Balai Polis Golok malam tadi,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, suasana tenang di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand, petang kelmarin bertukar ngeri apabila seorang wanita sarat mengandung hanya mampu menjerit dan mendakap suaminya yang rebah selepas ditembak 18 das oleh dua lelaki yang dikenalinya.
Mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, ditembak bertubi-tubi ketika sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di halaman rumahnya kira-kira pukul 6.40 petang waktu Thailand.
Isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, berkata, dua lelaki tersebut datang dari arah belakang sebelum bertindak melepaskan tembakan menggunakan pistol masing-masing ke arah suaminya tanpa sebarang amaran.
Mohd. Fuad menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam.-UTUSAN










