Bapa meninggal dunia sebelum konvokesyen

Bapa meninggal dunia sebelum konvokesyen

SITI Ruqyah Adnan semasa menziarahi pusara arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Aman, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang pelajar jurusan perubatan menggagahkan diri naik ke pentas menerima skrol ijazah sarjana muda sempena Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah pada 2 November lalu meskipun bapanya meninggal dunia tiga jam sebelum majlis berke­naan.

Siti Ruqyah Adnan, 24, berkata, walaupun suasana hari gembira itu bertukar duka, dia bersyukur dapat memenuhi impian arwah bapanya, Adnan Yasin, 76, untuk bergelar doktor perubatan.

Katanya, dia menerima berita kematian itu selepas dihubungi salah seorang kakaknya pada pukul 7 pagi.

“Sejurus selepas mene­rima khabar duka itu, saya mena­ngis dalam kereta. Kalau ikutkan saya mahu terus pulang ke kampung. Namun, atas nasihat rakan dan mengingatkan impian jadi doktor adalah hasrat arwah Abah, saya teruskan sehingga tamat majlis sebelum pulang ke kampung dihantar pihak pengurusan universiti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Aman, di sini semalam.

Bakal doktor itu berkata, sejujurnya dia dan keluarga terkejut dengan pemergian bapa yang dilihat dalam keadaan sihat.

Katanya, arwah bapanya sempat menghantarnya menaiki bas pada 26 Oktober lalu untuk menghadiri konven­syen berkenaan.

“Arwah abah sudah memberitahu untuk tidak menyertai keluarga menghadiri majlis konvokesyen itu kerana perlu menjaga ibu saya, Nik Norizan Wan Deraman, 69, yang sudah enam tahun terlantar akibat angin ahmar.

“Semasa kejadian, arwah dan ibu dijaga abang manakala adik beradik datang ke Kedah untuk majlis konvokesyen. Selepas solat subuh, meneruskan rutinnya seperti biasa iaitu mengaji. Namun pagi itu, abah mengadu sakit dada sebelum dimaklumkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh,” ujarnya.

Kisah pelajar yang kehilangan bapa sebelum beberapa jam tamat konvokesyen tular memaparkan video dia disapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan ucapan takziah di majlis konvokesyen itu yang dimuat naik pegawai khas media beliau, Helmie Khalid dalam laman sosial.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN