Banjir terburuk di Kampung Tebing Tinggi, tidak sempat pindahkan barang - Utusan Malaysia

Banjir terburuk di Kampung Tebing Tinggi, tidak sempat pindahkan barang

KEADAAN salah sebuah rumah penduduk yang terjejas dengan banjir di Kampung Tebing Tinggi, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Situasi banjir di Kampung Tebing Tinggi yang berhampiran Projek Terusan Lencongan Banjir Barat (LBB) di sini disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun yang menyaksikan rumah penduduk di situ terjejas.

Sebelum ini, kawasan itu pernah terjejas teruk ekoran banjir pada tahun 2005 dan 2010 sehingga menyebabkan penduduk perlu dipindahkan ekoran kediaman dinaiki air.

Namun begitu, selepas tujuh tahun LBB siap dilaksanakan pada 2018, kejadian banjir di kawasan kampung itu amat jarang berlaku.

Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Tebing Tinggi, Azmi Hashim, 46, berkata, penduduk sememangnya terkejut dengan situasi banjir yang berlaku di kampung itu memandangkan kawasan tersebut sudah lama tidak terjejas khususnya selepas projek LBB siap.

“Inilah kejadian banjir terburuk di kampung ini sejak 26 tahun saya menetap di sini berbanding bencana pada 2005 dan 2010 lalu. Sepanjang menetap di sini, saya pernah berdepan lapan kali kejadian banjir dan ini paling teruk,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Warisan, di sini, hari ini.

Azmi berkata, paras air di kampung itu mula naik sejak pukul 8.30 malam semalam dan keadaan arus ketika itu juga agak laju serta berbahaya.

Katanya, dia juga tidak sempat menyelamat barangan lain dan hanya mematuhi arahan berpindah dengan membawa dokumen penting termasuk kad pengenalan.

“Kami berserah kepada Allah SWT dan kejadian yang berlaku itu juga begitu pantas sehingga kami tidak sempat menyelamatkan barangan lain kerana diarahkan berpindah demi keselamatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara penjawat awam, Yazid Mohd Noor, 55, berkata, sebelum ini, kawasan itu hanya pernah berdepan banjir kilat disebabkan fenomena air pasang besar.

Katanya, kejadian kali ini sememangnya amat mengejutkan malah keadaan paras air di rumahnya juga mula naik sejak pukul 12 tengah malam tadi.

“Air masuk begitu laju dan melepasi paras ban projek LBB sehingga masuk ke bahagian dapur rumah kami. Saya juga bersiap sedia untuk berpindah ke PPS selepas ini sekiranya keadaan paras air di rumahnya semakin meningkat selepas ini. Saya sudah buat persiapan untuk angkat barang-barang berharga dan jika keadaan makin teruk, kami mungkin kena berpindah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN