Banjir: Shahidan mohon sidang Parlimen ditangguhkan - Utusan Malaysia

Banjir: Shahidan mohon sidang Parlimen ditangguhkan

SHAHIDAN Kassim meninjau mangsa banjir di PPS UiTM Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memohon sidang Parlimen ditangguhkan beberapa hari bagi membolehkan ahli Parlimen pulang ke kawasan masing-masing membantu mangsa banjir yang terjejas.

Katanya, ketika ini, banyak negeri yang terjejas dengan banjir seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang memerlukan perhatian wakil rakyat berada di kawasan masing-masing.

“Penangguhan bagi membolehkan semua ahli Parlimen pulang ke kawasan masing-masing untuk meninjau keadaan, membantu mangsa serta menyelaras tindakan segera bersama agensi berkaitan.

“Kerjasama dan pertimbangan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat amat dihargai demi memastikan kebajikan rakyat di kawasan yang terkesan dapat diberikan perhatian,” katanya ketika ditemui selepas meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau hari ini.

Sementara itu, Shahidan memberitahu, lebih 500 mangsa dari kawasan Arau berpindah di PPS berkenaan yang telah segera diaktifkan.

Beliau turut menyediakan makanan dan keperluan kepada mangsa di PPS terlibat.

“Keadaan banjir kali ini agak teruk dan tidak dijangka menyebabkan ramai mangsa yang terjejas, baru berpindah. Tidak mustahil ia boleh berlaku seperti banjir besar pada 2010 dan 2005,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim pula berkata, keadaan banjir di Guar Sanji agak teruk dengan paras air sehingga pinggang.

Katanya, antara kampung terjejas seperti Titi Besi, Paloh, Jelempok dan sekitarnya.

“Mangsa yang terlibat sudah dipindahkan ke PPS UiTM Arau ini. Banjir kali ini agak teruk seperti banjir besar pada 2010 lalu.

“Saya juga menasihatkan penduduk yang terjejas agar segera berpindah ke PPS dan jangan tunggu keadaan bertambah buruk,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN