TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 172 pemborong dan peruncit di seluruh negeri bagi memastikan rantaian bekalan barangan asas mencukupi sepanjang musim banjir.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, kesemua pemborong dan peruncit itu diberikan kebenaran untuk menyimpan kuota tambahan 30 peratus bagi menampung permintaan penduduk sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, kuota tambahan melibatkan 26 jenis barangan asas termasuk gula, minyak masak, telur, tepung, beras dan keperluan penting lain itu diberikan bermula November hingga Mac.
“Kita pecahkan rangkaian ini mengikut setiap jajahan supaya jika berlaku laluan terputus, penduduk di kawasan terjejas masih boleh mendapatkan bekalan asas.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada laluan utama di Kelantan yang terputus dan semua pemborong serta peruncit masih boleh diakses tanpa gangguan. Ini baru gelombang pertama. Lazimnya kita berdepan empat hingga lima gelombang banjir, bergantung besar atau kecil keadaannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pemborong utama di Jedok di sini hari ini sempena kesiapsiagaan hadapi musim tengkujuh.
Azman memberitahu, kebanyakan premis pemborong dan peruncit ini terletak di kawasan yang tidak mudah ditenggelami banjir.
Katanya, selain itu premis tersebut perlu menampung tambahan barangan tersebut.
“KPDN Kelantan mahu pastikan walau apa pun situasi, masyarakat masih boleh mendapatkan keperluan harian mereka,” ujarnya.-UTUSAN










