GUA MUSANG: Seramai 25 penduduk berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas Felda Chiku 5 dilanda banjir kilat malam tadi.
Menurut InfoBencanaJKM kesemua mangsa dari 22 buah keluarga itu berlindung di PPS Balai Raya Felda Chiku 5 yang diaktifkan sejak tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hujan lebat berterusan kira-kira lebih tiga jam sejak pukul 7 petang semalam menyebabkan dua jalan utama dan dua jalan kampung dilimpahi air hujan.
Katanya, jalan yang dilimpahi air ialah di Jalan Gua Musang-Lojing (hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang) dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai (Persimpangan Lampu Isyarat Persimpangan Bendahara).
“Dua jalan kampung yang dinaiki air ialah di Kampung Tanah Putih dan Kampung Lepan Jaya.
“Lima kawasan perumahan turut dilimpahi air banjir iaitu di Kesedar Paloh 1, Paloh 3, Chalil, Felda Chiku 3 dan Felda Chiku 5. Limpahan air hujan di jalan utama dan kampung itu sudah surut sekitar pukul 11 malam dan boleh dilalui semua kenderaan,” katanya.
Choon Foo turut menasihatkan agar penduduk kampung bergotong-royong untuk pembersihan perparitan di kawasan kampung kerana banjir kilat dipercayai berlaku akibat sistem saliran yang tersumbat.-UTUSAN

								
											








