RANTAU PANJANG: Pekan Rantau Panjang di sini yang terkenal dengan ‘syurga’ membeli-belah dijangka dilanda banjir malam tadi susulan cuaca tidak menentu ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa kawasan rendah berhampiran zon bebas cukai itu seperti Kampung Kubang Rambutan mula dinaiki awal sejak pagi tadi.
Rata-rata penduduk dilihat sudah membuat persiapan awal termasuk memindahkan kenderaan mereka ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.
Hal ini bagi menggelakan mereka berdepan kesukaran jika air naik secara mendadak.
Bagaimanapun, ada penduduk mengambil kesempatan untuk bermain air di Pusat Pemeriksaan Kastam Zon Bebas Cukai Pintu 2, di sini.
Setakat pukul 5 petang, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Golok di sini berada pada paras 10.36 sekali gus melepasi tahap bahaya iaitu 9 meter.
Sementara tinjauan di beberapa kawasan rendah sekitar Rantau Panjang mendapati Pekan Lama Rantau Panjang, Kampung Tersang, Lanchang, Gual Tok Deh dan sekitar sudah ditenggelami air.
Seramai 20 mangsa banjir sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh.-UTUSAN









