Bangladesh perkenal uniform baharu untuk pulih imej polis

Bangladesh perkenal uniform baharu untuk pulih imej polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Polis Bangladesh memperkenalkan uniform baharu dalam usaha simbolik untuk menunjukkan komitmen terhadap reformasi dan memulihkan kepercayaan awam yang merosot teruk, menjelang pilihan raya pertama sejak pemberontakan besar-besaran.

Polis negara itu berdepan krisis selepas kejatuhan kerajaan autokratik Sheikh Hasina pada 2024, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh dan beribu-ribu lagi cedera, kebanyakannya akibat ditembak polis.

“Polis Bangladesh sedang berdepan krisis yang luar biasa. Pembuat dasar mencadangkan uniform baharu mungkin memberi kesan positif,” kata jurucakap polis, Sahadat Hossaine kepada AFP.

Polis kini menukar pakaian seragam berwarna biru kehijauan yang sinonim dengan pasukan itu kepada kemeja kelabu besi dan seluar coklat gelap.

Bagaimanapun, perubahan warna uniform itu mampu memulihkan reputasi pasukan keselamatan tersebut masih diragui.

“Setiap kali saya melihat anggota polis, saya rasa seperti mahu menggigit dagingnya. Saya tidak pasti sama ada kebencian ini akan hilang,” kata Nazma Akhtar, 48, bapa kepada mangsa yang terbunuh ketika pemberontakan rakyat.

Hasina dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah di Dhaka pada 17 November atas tuduhan mengarahkan pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Usaha Hasina untuk kekal berkuasa gagal selepas beliau mengarahkan tentera menumpaskan protes, namun ia enggan berbuat demikian.

Serangan vandalisme dan kebakaran dalam pemberontakan selepas kejatuhannya menyasarkan kira-kira 450 daripada 600 balai polis di negara itu, menurut pegawai.

Penyelidik mendokumentasikan kekejaman meluas oleh polis semasa pemberontakan itu.

Ini termasuk pembunuhan pelajar remaja yang tidak bersenjata, Ashiqur Rahman Hridoy, yang dihimpit antara dua kumpulan polis dan ditembak pada jarak dekat, kata kumpulan dasar Tech Global Institute, Fawzie Afroz, kepada AFP.

Kira-kira 1,500 anggota polis kini berdepan tuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pembunuhan, dengan puluhan ditahan.

Bekas ketua polis, yang mengaku bersalah dalam perbicaraan sama dengan Hasina, dijatuhkan hukuman lima tahun penjara.

Polis berkata, sekitar 55 pegawai kanan, yang juga dikehendaki atas tuduhan pembunuhan, kini melarikan diri ke India.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN