Bahaya di sebalik kosmetik terpakai

Bahaya di sebalik kosmetik terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kosmetik berjenama terpakai semakin mendapat permintaan tinggi daripada golo­ngan wanita muda yang ingin gaya mewah.

Mereka dikatakan sanggup berhabis wang untuk mendapatkan produk berkenaan, meski­pun tahap keselamatan dan kebersihannya dicurigai.

Pemakaian produk itu mendedahkan mereka kepada risiko penyakit kulit seperti jangkitan pada wajah dan alahan.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, kosmetik berkenaan banyak dijual di media sosial dan platform dalam talian yang menya­sarkan wanita muda yang berminat kosmetik berjenama, namun tidak mampu membelinya.

Sebagai pilihan, mereka mencari kosmetik berjenama terpakai, meskipun ia dijual pada harga yang mahal.

Permintaan terhadap kosmetik berkenaan mening­kat apa­bila ia dikatakan turut digunakan oleh golongan selebriti, model dan pempengaruh.

Seorang model sambilan, Nurul Aqilah Norasmadi, 23, mengakui kerap membeli kosmetik berjenama terpakai kerana ia lebih murah berbanding produk baharu.

“Saya dapati kebanyakan penjual hanya guna produk itu beberapa kali sebelum dijual semula. Keadaannya masih elok, malah ada yang kelihatan seperti baharu.

“Kebanyakan penjual menjual semula produk kerana warnanya tidak sesuai dengan tona kulit. Jadi daripada dibuang, mereka jual di platform seperti Carousell dan saya rasa berbaloi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, pembelian pro­duk terpakai itu juga langkah terbaik untuk menilai kesesuaian sesuatu produk dengan kulitnya sebelum membeli versi baharu yang lebih mahal.

Sementara itu, pelajar universiti, Wan Nur Syakirah Wan Syariffudin, 22, berkata, faktor harga menjadi punca utama dia memilih membeli alat solek berjenama terpakai.

“Saya memang minat pro­duk berjenama, tapi harga asal terlalu mahal. Bila beli yang terpakai, saya boleh jimat banyak. Contohnya, saya pernah beli finishing powder (produk kemasan solekan) bernilai RM300 pada harga RM150 sahaja.

“Tapi saya hanya beli foundation (asas mekap) dan powder (bedak). Produk bibir (gincu) saya elak sebab rasa tidak selamat,” katanya.

DR. KAUTHAR ISMAIL

Bagaimanapun, pakar kecan­tikan dan Pengasas Prestige Medispa Malaysia, Dr. Kauthar Ismail, menegaskan, trend membeli produk terpakai boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan kulit pengguna.

“Produk yang telah dibuka atau digunakan orang lain berpotensi menjadi tempat pembiakan bakteria, kulat dan virus.

“Apabila bersentuhan dengan kulit, ia boleh menyebabkan jerawat, radang kulit, kon­junktivitis atau jangkitan lebih serius seperti impetigo,” katanya.

Menurutnya, kajian oleh Uni­versiti Aston, United Kingdom pada 2020 mendapati, hampir 90 peratus produk kosmetik terpakai seperti berus, lipstik dan maskara mengan­dungi bak­teria berbahaya ter­masuk E.coli dan Staphylococcus aureus yang boleh menyebabkan jangkitan kulit dan mata jika digunakan berulang kali.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya mengelakkan penggunaan pro­duk terpakai, namun jika tetap mahu mencubanya, langkah kebersihan mesti diberi ke­utamaan.

“Pastikan produk masih dalam tarikh luput, tidak berubah warna atau bau. Gunakan spatula atau berus bersih, jangan ambil terus dari bekas asal, dan elakkan berkongsi produk peribadi,” katanya.

Tambahnya, kesedaran ter­hadap kebersihan dan kese­lamatan perlu ditingkatkan agar keinginan tampil cantik tidak mengorbankan kesihatan serta keyakinan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN