SYDNEY: Pihak berkuasa Australia mengingatkan penduduk di Wilayah Utara supaya bersiap sedia menghadapi Ribut Tropika Fina, yang dijangka membawa angin kencang dan risiko banjir ke bandar Darwin.
Biro Meteorologi Australia berkata, Fina, ribut kategori 3 yang berada di Teluk Van Diemen dengan membawa angin sehingga 165 kilometer sejam, dijangka melanda Kepulauan Tiwi dan Cape Hotham pada petang Sabtu.
Ia dijangka melepasi kawasan utara Darwin, ibu negeri Wilayah Utara itu, pada Sabtu sebagai ‘ribut tropika kuat’.
“Menjelang Sabtu malam, ia diramalkan berada pada jarak paling hampir dengan Darwin. Ketika itu kita berkemungkinan melihat angin paling kencang dan hujan lebat melanda bandar,” kata biro berkenaan.
Penduduk turut digesa untuk segera memulakan persiapan menghadapi ribut, termasuk memastikan keselamatan harta benda masing-masing.
Ahli meteorologi kanan biro cuaca, Dean Narramore berkata, walaupun ribut itu dijangka tidak mendarat, ia tetap membawa hujan lebat serta angin kencang ke Darwin, yang mempunyai kira-kira 140,000 penduduk.
Pegawai Pusat Operasi Kecemasan Wilayah Utara, Kirsten Engels, menggesa semua penduduk di kawasan terjejas supaya mengaktifkan pelan kecemasan isi rumah dan berpindah ke pusat perlindungan awam jika perlu.
“Kami sudah bersedia, tetapi situasinya serius. Angin dan hujan semakin kuat di Darwin dan Kepulauan Tiwi,” katanya.
Amaran kepada penduduk Darwin turut mengingatkan kembali tragedi Ribut Tracy, yang memusnahkan hampir keseluruhan bandar pada Hari Krismas 1974, mengorbankan 71 orang dalam insiden bencana alam terburuk Australia.- AL JAZEERA










